INSTITUT Aminuddin Baki di Bandar Pendidikan Enstek,  Nilai dikawal ketat pasukan keselamatan berikutan terdapat 310 penuntut Malaysia yang menuntut di Indonesia sedang dikuarantin 14 hari. FOTO Mohd Amin Jalil
INSTITUT Aminuddin Baki di Bandar Pendidikan Enstek, Nilai dikawal ketat pasukan keselamatan berikutan terdapat 310 penuntut Malaysia yang menuntut di Indonesia sedang dikuarantin 14 hari. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil

INSTITUT Aminudin Baki (IAB) di Bandar Pendidikan Enstek, Nilai dikawal ketat pasukan keselamatan berikutan seramai 310 penuntut sedang dikuarantin di situ.

Penuntut terbabit adalah mereka yang dibawa pulang ke tanah air dari Indonesia menerusi dua penerbangan pada Khamis lalu, akibat penularan wabak Covid-19.

Tinjauan ke IAB mendapati tiada mana-mana pihak dibenarkan masuk ke kawasan itu termasuk ahli keluarga pelajar berkenaan.

Kelihatan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan keselamatan institut terbabit berkawal di premis itu.

Petugas keselamatan di pintu masuk utama institusi itu yang enggan namanya disiarkan memberitahu pihaknya menerima arahan supaya membuat pengawasan rapi di pusat itu.

“Kami mendapatkan arahan dari pihak berkuasa supaya tidak membenarkan mana-mana individiu yang tiada kaitan masuk ke dalam kawasan institusi ini.

“Semua 310 penuntut sedang dikuarantin selama 14 hari bermula Khamis lalu,” katanya, ketika ditemui, hari ini.

Kesemua penuntut terbabit tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dibawa menaiki tiga bas PDRM dan dua buah bas Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) ke institut itu.

Pusat kuarantin di IAB itu diuruskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 4:38 PM