PENGAWAL keselamatan mengawal kenderaan yang keluar dan masuk ke SBP SSP. FOTO Hairul Anuar Rahim
PENGAWAL keselamatan mengawal kenderaan yang keluar dan masuk ke SBP SSP. FOTO Hairul Anuar Rahim
Samadi Ahmad


Putrajaya: Seramai 150 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya dipindahkan ke Institut Aminuddin Baki (IAB) di Bandar Enstek, Negeri Sembilan, bagi menjalani kuarantin semalam.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata mereka akan dipantau secara dekat oleh pasukan perubatan dari masa ke masa sepanjang berada di situ bagi mengelakkan jangkitan.

Menurutnya, pelajar ditempatkan dua orang setiap bilik yang selesa bagi membolehkan mereka menjalani kuarantin dalam keadaan kondusif sepanjang proses pemantauan dalam kuarantin.

"Insya-Allah pelajar lain juga akan terus dipantau di sekolah dan sebarang perkembangan lanjut kita akan maklumkan kepada ibu bapa secepat mungkin.

"Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit antaranya Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Sepang,Agensi Bencana Negara (NADMA), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dalam memastikan keselamatan anak-anak ini," katanya di Facebook miliknya semalam.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa pelajar yang memberi sokongan supaya usaha ini dapat dijalankan dengan lancar serta teratur.

Semalam Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Shaa'ri Ngadiman memaklumkan sehingga jam 3 petang seramai 139 pelajar, 15 guru dan 10 petugas sekolah itu positif Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 8:44 AM