Jeff (tengah) menyerahkan sumbangan berupa cecair pembasmi kuman, sarung tangan dan apron kepada Hospital Sungai Buloh. FOTO Ihsan pembaca
Jeff (tengah) menyerahkan sumbangan berupa cecair pembasmi kuman, sarung tangan dan apron kepada Hospital Sungai Buloh. FOTO Ihsan pembaca
Rosyahaida Abdullah


PRIHATIN dengan keperluan negara dalam menangani pandemik Covid-19, syarikat pemaju hartanah JL99 Group tidak terkecuali menyumbang hampir RM700,000 kepada petugas barisan hadapan sehingga Jumaat lalu.

Pengerusi Eksekutif JL99 Group Datuk Seri Jeff B K Lee berkata, pemberian sumbangan itu dimulakannya sejak bulan lalu selepas melihat kerja keras petugas barisan hadapan yang berusaha mengawal penularan wabak di seluruh negara.

Menurut Jeff, sumbangan mula disalurkan secara berperingkat kepada Kerajaan sejak 26 Mac lalu melalui jabatan berkaitan dalam pelbagai bentuk mengikut kesesuaian.

“Sumbangan ini adalah sebagai tanda penghargaan kami kepada petugas barisan hadapan yang berbakti siang dan malam demi memastikan usaha memutuskan rantaian Covid-19 serta merawat pesakit berhasil.

“Terima kasih tidak terhingga kepada semua pemimpin Kerajaan serta doktor, jururawat, polis, pihak berkuasa tempatan, bomba, tentera, Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia) dan banyak lagi pihak yang bekerja keras demi memastikan seluruh rakyat Malaysia terselamat daripada jangkitan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Jeff berkata, selain keperluan mendesak seperti penutup hidung dan mulut, cecair pembasmi kuman, sarung tangan serta apron, makanan dan minuman turut disalurkan pihaknya.

Katanya, pihaknya turut memberi sumbangan berbentuk wang tunai berjumlah RM230,000 kepada Hospital Selayang pada 30 Mac lalu untuk tujuan pembelian peralatan perubatan yang mungkin tidak mencukupi dan amat diperlukan ketika ini.

SESI persekolahan di rumah
SESI persekolahan di rumah

Tambahnya, pihaknya menyasar untuk menyumbang 50,000 lagi penutup mulut dan hidung sebaik menerima barangan itu dari China minggu depan.

“Jika anda melakukan perkara baik, anda akan mendapat lebih banyak perkara baik sebagai ganjaran.

“Kami harap seluruh rakyat Malaysia memainkan peranan dalam menjayakan usaha melenyapkan wabak ini bersama. Sama ada dengan memberi sumbangan mengikut kemampuan masing-masing, atau semudah duduk di rumah masing-masing,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 12:29 PM