Murnaena Muhammad Nasir


Gombak: Pertubuhan Komuniti Elite menyumbang tujuh unit mesin ventilator bernilai RM754,300 kepada Hospital Selayang, di sini, hari ini untuk membantu Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu dalam memberikan rawatan kepada pesakit Covid-19.

Penasihat Elite Datuk Seri Eric Chia YY berkata, pihaknya berharap sumbangan berkenaan dapat dimanfaatkan sebaiknya dan sekali gus mampu menyelamatkan lebih banyak nyawa.

"Saya mendapat makluman daripada kenalan dan keluarga mengenai kekurangan mesin ventilator di hospital ini dan terpanggil untuk membantu.

"Selepas beberapa perbincangan, saya dan isteri (Datin Seri Joanne) bersetuju untuk menderma tujuh mesin ventilator ini dan berharap ia dapat membantu pihak hospital," katanya selepas penyerahan sumbangan di Lobi Utama Dewan Bersalin, Hospital Selayang.

Menurutnya, pertubuhannya sebelum ini pernah menyerahkan sumbangan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada tahun lalu.

"Tahun lalu, pihak kami juga pernah mengumpul dana bagi menyumbang pelitup separuh muka kepada Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dengan kos RM14,175.

"Selain menyokong petugas barisan hadapan perubatan, pihak kami juga masih lagi meneruskan pemberian bantuan makanan kepada golongan B40 sekitar Selangor dan Kuala Lumpur," katanya.

HOSPITAL Selayang menerima sumbangan yang berupa tujuh buah Ventilator daripada Pertubuhan Komuniti ELITE untuk kegunaan ICU Hospital Selayang. FOTO Fariz Iswadi Ismail
HOSPITAL Selayang menerima sumbangan yang berupa tujuh buah Ventilator daripada Pertubuhan Komuniti ELITE untuk kegunaan ICU Hospital Selayang. FOTO Fariz Iswadi Ismail

Sementara itu, Ketua Jabatan Anaestologi dan Ketua ICU Hospital Selayang Dr Haslinda Abd Hashim berkata, pihaknya berbesar hati dengan sumbangan yang dihulurkan dan sokongan yang diberikan itu pastinya dapat meningkatkan lagi motivasi petugasnya.

"Saya amat berterima kasih dengan pemberian mesin ventilator pada waktu yang sangat memerlukan ini.

"Pemberian ini pastinya dapat membantu pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan di wad Covid-19 dan juga boleh digunakan di wad biasa," katanya.

Mengulas mengenai keadaan pesakit Covid-19 di wad ICU hospital itu, Dr Haslinda berkata, buat masa ini pihaknya hanya memperuntukkan 33 katil.

"Hospital Selayang bukanlah tempat utama merawat pesakit Covid-19 dan jumlah katil adalah tetap namun setiap hari pasti penuh dan bertukar ganti.

"Kami berharap pandemik ini segera berakhir dan berterima kasih kepada masyarakat yang prihatin dalam menghulurkan bantuan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 4:51 PM