GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Shahrinnahar Latib


SEORANG peniaga wanita di Kuantan kerugian RM44,500 akibat terpedaya dengan promosi penutup hidung dan mulut yang dijual murah menerusi Facebook (FB) bulan lalu.

Mangsa yang berusia 30 tahun dikatakan mula mencari produk itu secara dalam talian selepas gagal mendapatkannya di kedai berhampiran.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berhubung dengan seorang lelaki di FB dan membuat tempahan penutup hidung dan mulut daripada suspek.

“Harga ditawarkan adalah RM50 untuk 50 keping bagi topeng muka tiga lapis dewasa dan RM25 untuk 50 keping untuk topeng muka kanak-kanak.

“Suspek berjanji akan menghantar topeng muka sekiranya mangsa membayar wang pendahuluan. Kemudian mangsa membuat pembayaran ke dalam akaun yang diberikan.

“Mangsa dikatakan membuat pesanan sebanyak 48,000 keping bersamaan dengan 960 kotak dan sudah membuat pembayaran sebanyak RM44,500 ke dalam akaun yang diberikan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun sehingga semalam mangsa tidak menerima barangan itu menyebabkannya dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan,” katanya.

Katanya, modus operandi sindiket penipuan penjualan penutup hidung dan mulut ini adalah dengan mempromosikan produk itu di laman sosial dengan harga murah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 11:29 AM