RAK di pasar raya kosong akibat kehabisan stok tisu tandas pada ketika orang ramai berebut membelinya. FOTO Daily Mail.
RAK di pasar raya kosong akibat kehabisan stok tisu tandas pada ketika orang ramai berebut membelinya. FOTO Daily Mail.
Daily Mail

Taipei: Rakyat Taiwan kecoh dengan khabar angin tisu tandas akan naik harga sehingga 30 peratus menyebabkan orang ramai menyerbu pasar raya serta kedai bagi membeli barangan itu menyebabkan hampir semua premis perniagaan kehabisan stok.

Rak pasar raya dan kedai kosong, manakala syarikat jualan dalam talian turut kehabisan stok tisu berkenaan dalam situasi yang dianggap ‘bencana tisu tandas’.

Menurut Daily Mail yang memetik laporan media tempatan, perkhidmatan e-dagang popular PChome berkata, ia menjual lima juta bungkusan tisu tandas dalam tempoh tiga hari.

Keadaan panik itu tercetus selepas pengeluar memberi amaran kepada peruncit bahawa harga mungkin naik hingga 30 peratus bermula pertengahan Mac susulan peningkatan harga pulpa.

Sekarang, pelanggan hanya membayar kira-kira £4.89 (RM26.60) untuk 12 pek tisu tandas, namun apabila harganya naik nanti, mereka perlu membelinya dengan harga £6.35 (RM35).

Perdana Menteri Taiwan, William Lai dalam kenyataan kelmarin, meminta orang ramai tidak panik dan berebut untuk membeli barang.

“Bekalan mencukupi dan semua orang boleh mendapatkan tisu tandas,” katanya.

Kerajaan turut meminta Suruhanjaya Perdagangan Adil meneliti dakwaan penetapan harga oleh pengeluar dan peruncit utama.

Siasatan akan dibuat untuk mengetahui sama ada pengeluar tisu tandas berpakat untuk menaikkan harga tanpa sebab.

Sementara itu pengeluar tisu terbesar Taiwan YFY Inc berkata, kos pulpa serat pendek yang digunakan dalam pembuatan tisu tandas meningkat 50 peratus sejak pertengahan 2017.

Ketidakseimbangan dalam bekalan dan permintaan menyebabkan kos pengeluaran setan pulpa meningkat dari £467 (RM2,500) pada Februari 2017 kepada £571 (RM3,100) setahun kemudian.

Peruncit sudah menaikkan harga dari lima peratus kepada lapan peratus tahun lalu dan harganya akan naik lebih tinggi untuk disesuaikan dengan keadaan pasaran semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 10:46 PM