GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Abnor Hamizam Abd Manap


POLIS daerah Jempol bertindak tegas apabila menangkap 34 individu yang melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 30 Mac lalu.

Ia adalah jumlah tangkapan paling ramai di Jempol sebelum PKP fasa kedua dilaksanakan semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif berkata, semua individu berusia antara 15 hingga 68 tahun itu ditangkap di beberapa kawasan termasuk tanah rancangan FELDA.

Beliau berkata, tangkapan dibuat berikutan aduan awam kerana melanggar PKP dengan mengulangi kesalahan sama.

“Ada di antara mereka keluar tanpa alasan munasabah, melepak, minum minuman keras dan melakukan aktiviti lain ketika polis menjalankan Op Covid-19.

“Mereka ditahan bermula 3.30 petang sehingga 11.30 malam dan dibawa ke Hospital Jempol bagi menjalani saringan dan disahkan tiada jangkitan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Khairiel berkata, semua individu terbabit direman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Peraturan 7 ( 1 ) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah - Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Beliau berkata, bagi fasa kedua PKP, polis akan terus bertindak tegas dan akan mengambil tindakan undang-undang pada mereka yang ingkar.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2020 @ 3:38 PM