LAPAN lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu kerana ingkar arahan PKP. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
LAPAN lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu kerana ingkar arahan PKP. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
Zatul Iffah Zolkiply


KEGAGALAN lapan lelaki mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membawa padah apabila masing-masing dijatuhi hukuman penjara 14 dan tujuh hari di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini.

Keputusan itu dibuat Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/ Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff selepas semua tertuduh berusia antara 21 hingga 26 tahun mengaku salah selepas pertuduhan dibaca secara berasingan.

Pertuduhan dibuat mengikut Peraturan 3 (1) dan Peraturan 3 (2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Bagi kesalahan itu, semua tertuduh berdepan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, lapan tertuduh didakwa melakukan kesalahan bergerak dari satu kawasan tempatan jangkitan tanpa kebenaran pegawai polis dan berkumpul di sekitar Manir dan Kuala Nerus antara 4.30 hingga 6.30 petang semalam.

Bagaimanapun, seorang lagi tertuduh, Muhammad Arif Izzat Mohamad Rashid, 21, mengaku tidak bersalah melakukan kesalahan sama di Manir, pada 6.30 petang, semalam.

Sejurus pengakuan tidak bersalah Muhammad Arif Izzat direkodkan, mahkamah menetapkan 19 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara lapan tertuduh bermula daripada tarikh tangkap iaitu 29 Mac lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim manakala semua tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakilkan Mazlan Md Zein.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 5:39 PM