MOHD Alif Usman dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu atas pertuduhan melakukan ugutan dan kekerasan jenayah terhadap bapa mentuanya. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
MOHD Alif Usman dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu atas pertuduhan melakukan ugutan dan kekerasan jenayah terhadap bapa mentuanya. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


MAHKAMAH Majistret Kuala Terengganu, hari ini, mengarahkan lelaki yang berdepan pertuduhan melakukan ugutan dan kekerasan jenayah terhadap bapa mentuanya dihantar ke Hospital Permai, Tampoi, Johor Bahru, Johor untuk menjalani rawatan psikiatri.

Tertuduh, Mohd Alif Usman Roslan Chew, 37, sebelum itu membuat pengakuan tidak bersalah selepas dua pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 352 KK dibacakan di hadapan Majistret Nordiana Abd Aziz.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengugut mahu membakar rumah dan kereta milik mangsa, Roslan Rashid, 52, di hadapan rumah mangsa di Kepong, jam 12.15 tengah malam pada 7 April lalu.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 506 KK berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh turut didakwa melakukan kekerasan jenayah dengan cuba memukul mangsa menggunakan cota besi di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 352 KK berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau dengan denda sehingga RM1,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah mengarahkan tertuduh dihantar ke Hospital Permai, Tampoi, Johor Bahru, Johor untuk mendapatkan pemeriksaan mental dan menetapkan 11 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan L Rathna manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakilkan peguam, Mazlan Md Zein.

Sebelum itu, tertuduh dilihat seperti kebingungan untuk membuat sebarang pengakuan ketika berada di kandang tertuduh.

Situasi itu menyebabkan peguamnya terpaksa memohon mahkamah menangguhkan prosiding selama lima minit bagi memberi ruang kepadanya untuk memberi penjelasan terperinci kepada tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2020 @ 7:20 PM