SERAMAI 13 jemaah yang sedang solat isya disebuah masjid di Telok Medan, Bagan Serai, ditahan pihak berkuasa selepas melanggar arahan PKP. FOTO IHSAN PEMBACA
SERAMAI 13 jemaah yang sedang solat isya disebuah masjid di Telok Medan, Bagan Serai, ditahan pihak berkuasa selepas melanggar arahan PKP. FOTO IHSAN PEMBACA
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


TINDAKAN 13 jemaah menunaikan solat Isyak berjemaah di sebuah masjid di Telok Medan, Bagan Serai, semalam mengundang padah apabila ditahan pihak berkuasa kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pegawai Tadbir Agama Daerah Bagan Serai, Mokhlis Husain berkata, pihaknya dengan kerjasama anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian melakukan pemantauan awal selepas menerima maklumat.

Menurutnya, berdasarkan pemerhatian mendapati jemaah terbabit adalah penduduk tempatan berusia 50-an dan ke atas.

“Kesemua jemaah terbabit ditahan sebaik mereka selesai menunaikan solat Isyak sekitar 9 malam hingga 9.30 malam dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Difahamkan, kesemua mereka dirakamkan percakapan dan sudah dibebaskan dengan jaminan polis, semalam,” katanya dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan di surau dan masjid dari semasa ke semasa terutama di kawasan pedalaman sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

Katanya, tindakan tegas boleh diambil terhadap individu yang ingkar dengan arahan berkenaan.

“Orang ramai dinasihatkan patuh dengan arahan dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) sepanjang tempoh PKP dikuat kuasakan,” katanya.

Dalam pada itu, MAIPk hari ini mengeluarkan kenyataan mahu rakyat mematuhi arahan agar tidak melaksanakan solat berjemaah dan sebarang aktiviti di masjid serta surau sehingga 14 April.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakktiar Yaacob sedang dihubungi bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 3:06 PM