Pegawai dan anggota polis memeriksa kereta yang dipandu suspek selepas terbabas di satu selekoh tajam di di Jalan Bukit Bendera, Kota Kinabalu.- FOTO Juwan Riduan
Pegawai dan anggota polis memeriksa kereta yang dipandu suspek selepas terbabas di satu selekoh tajam di di Jalan Bukit Bendera, Kota Kinabalu.- FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


SELEPAS hampir sejam dikejar empat Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB), seorang lelaki akhirnya berjaya diberkas apabila kereta dipandunya kehabisan minyak sebelum terbabas di Jalan Bukit Bendera di Kota Kinabalu, awal pagi ini.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, MPV dari Balai Polis Luyang sedang menjalankan rondaan Ops Payung mengesan sebuah kereta Hyundai Atos dalam keadaan mencurigakan di kawasan Kampung Cenderakasih, Kolombong.

Anggota terbabit cuba menahan untuk pemeriksaan namun kereta dipandu seorang lelaki bersama wanita dan seorang bayi perempuan berusia 22 hari memecut laju dan cuba melanggar kereta polis.

Susulan itu, anggota terbabit mengekori kereta suspek ke Jalan Lintas, Jalan Bundusan, Jalan Penampang Bypass, Jalan Donggongon, Jalan Lok Kawi, Jalan Sabindo, Jalan Putatan dan masuk semula ke pusat bandar Kota Kinabalu di Jalan Tun Fuad Stephen.

Beberapa unit MPV dari IPD Kota Kinabalu yang menerima laporan itu turut mengekori kereta suspek yang bukan sahaja cuba melanggar beberapa kenderaan polis malah melawan arus serta melanggar sekatan jalan raya di Jalan Lintas yang sedang membuat Ops Covid-19.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, unit MPV dan URB terus mengekori kereta itu sambil meminta supaya suspek memberhentikan kenderaan namun dia terus bergerak laju secara merbahaya.

“Suspek memandu secara berbahaya dengan melawan arus, langgar sekatan jalan raya walaupun beberapa diarah untuk berhenti termasuk menggunakan alat pembesar suara.

“Kita mengekori kereta itu kerana bimbang keselamatan bayi yang berada di dalam kereta dipandu suspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, ketika berada di selekoh tajam di Jalan Bukit Bendera, kereta dipandu suspek terbabas dan kehabisan minyak.

“Anggota polis kemudian bertindak menahan suspek dan membawa wanita serta bayi keluar daripada kenderaan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek dan wanita itu serta kenderaan tidak menemui sebarang benda terlarang.

“Suspek berusia 26 tahun warga tempatan dan wanita berusia 31 tahun ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah berkaitan narkotik manakala wanita itu adalah rakan suspek.

“Bayi perempuan berusia 22 hari itu anak kepada wanita terbabit. Kereta dipandu suspek dirampas untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26 Akta Polis 1967 kerana melanggar sekatan jalan raya dan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 4:23 PM