Rosly menunjukkan cukai jalan dan geran palsu serta barangan yang dirampas daripada kumpulan pecah rumah dan curi kenderaan pada sidang media hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Rosly menunjukkan cukai jalan dan geran palsu serta barangan yang dirampas daripada kumpulan pecah rumah dan curi kenderaan pada sidang media hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Polis menumpaskan dua kumpulan serta menahan 15 suspek sekitar Putrajaya, Selangor dan Kelantan dipercayai terbabit kes pecah rumah serta curi kenderaan.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, semua suspek termasuk empat wanita berusia antara 30-an hingga 40-an ditahan polis bermula 30 Julai lalu sehingga kini.

Menurutnya, kumpulan yang ditumpaskan itu turut dipercayai melakukan aktiviti jenayah lain iaitu cetak geran dan cukai jalan palsu selain mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

"Susulan daripada penahanan suspek, polis merampas 11 kenderaan curi, kira-kira 70 telefon bimbit, alat pecah kenderaan serta alat cetak geran dan cukai jalan palsu dengan anggaran nilai RM400,000.

"Polis masih memburu beberapa individu lain termasuk suspek utama dipercayai terbabit dengan kes ini," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2016 @ 12:08 PM