Adun Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat menyampaikan bantuan kepada keluarga Mahadi Mohd. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Adun Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat menyampaikan bantuan kepada keluarga Mahadi Mohd. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Oleh Shaiful Shahrin Ahmad


Bagan Serai: Lelaki yang mengalami masalah tulang belakang hanya mampu mengutip besi buruk dan mengambil upah mengurut sebagai sumber rezeki untuk menyara isteri dan empat anak termasuk dua orang kurang upaya (OKU).

Berikutan keadaan itu Mahadi Mohd, 52, yang sebelum menetap di Bruas mengambil keputusan berpindah ke Parit Mentara, di sini, bagi meneruskan kehidupan kerana tidak lagi mampu melakukan kerja berat.

Mahadi berkata, dia disahkan mengalami retak pada tulang L4 dan L5 sekali gus perlu menjalani pembedahan akibat terjatuh ketika berkebun di Perumahan Ladang Gelong Gajah, Bruas pada 2015 lalu.

"Mengikut laporan doktor, saya perlu menjalani pembedahan, namun menolaknya berikutan memikirkan anak yang masih kecil dan perlu menyara mereka kerana masih bersekolah.

"Sejak menetap di sini pada 2015 lalu, saya meneruskan kehidupan dengan mengurut dan jika tiada pelanggan saya akan mencari besi buruk untuk dijual bagi menyara keluarga," katanya.

Menurutnya, dengan pendapatan tidak menentu, dia bergelut meneruskan kehidupan selain perlu menguruskan rawatan anak ketiga di Hospital Selayang dua kali setahun selain sewa rumah.

"Anak ketiga iaitu Mohammad Amirul, 9, mengalami kecacatan fizikal pada mulut dan perlu menjalani rawatan enam bulan sekali di Hospital Selayang.

"Sekali pergi, kos rawatan termasuk minyak, makan dan lain-lain melebihi RM500. Memang saya ada terima bantuan bulanan RM600 daripada Baitulmal, namun tidak mencukupi," katanya.

Katanya, dia sekeluarga amat berharap kerajaan dapat menempatkannya di mana-mana rumah di Pusat Pemindahan Masyarakat Setempat (PPMS) di daerah Kerian berikutan kesihatannya kini semakin membimbangkan.

"Berikutan keadaan kesihatan tidak menentu, kini saya turunkan ilmu mengurut ini kepada isteri dan anak-anak. Mana tahu nanti saya terlantar atau sudah tiada," katanya.

Kisah penderitaan keluarga ini turut mendapat simpati Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat yang turut menyampaikan bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2020 @ 6:55 PM