DR Adham ketika menyampaikan mesej melalui FB miliknya. FOTO Ihsan FB Dr Adham Baba.
DR Adham ketika menyampaikan mesej melalui FB miliknya. FOTO Ihsan FB Dr Adham Baba.
Suraya Roslan


“JOM kita putuskan rantaian penularan Covid-19, kita mesti menang.”

Itu mesej yang disampaikan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi satu video berdurasi 53 saat di Facebook rasminya hari ini.

Menggunakan tanda pagar #KitaMestiMenang sebagai simbolik rakyat Malaysia memberi kerjasama sepenuhnya dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki hari ketujuh supaya rantaian Covid-19 dapat diputuskan segera.

“Alhamdulillah langkah kerajaan Malaysia melaksanakan PKP semakin mendapat kerjasama baik daripada rakyat, dalam tempoh beberapa hari ini juga kita dapat saksikan negara lain di rantau ini atau Eropah turut melaksanakan kawalan pergerakan terhadap rakyatnya.

“Di Malaysia, PKP memasuki hari ketujuh dan saya menyeru rakyat terus mematuhi segala peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa,” katanya.

Menurutnya, usaha itu diharap mendapat kerjasama semua rakyat Malaysia supaya negara bebas wabak itu dapat direalisasikan.

“Ini adalah usaha kita bersama, duduk rumah, penjarakan sosial dan amalkan kebersihan, kita mesti menang,” katanya.

Malaysia merekodkan 1,518 pesakit positif Covid-19 dengan 14 kematian setakat tengah hari, hari ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melabelkan wabak itu sebagai pandemik yang makin pantas merebak apabila merekodkan 339,831 kes di seluruh dunia dengan kematian 14,530 orang membabitkan 172 negara.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 1:52 PM