KAWASAN tompokan api di Hutan Simpan Kekal, Bukit Enggang. FOTO ihsan bomba
KAWASAN tompokan api di Hutan Simpan Kekal, Bukit Enggang. FOTO ihsan bomba
Zuliaty Zulkiffli


PASUKAN bomba berdepan kesukaran untuk memadam empat tompokan api di bahagian tengah dan puncak Hutan Simpan Kekal, Bukit Enggang di Sik, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, ini berikutan jentera bomba tidak boleh memasuki lokasi itu berikutan jalan sempit dan berbukit.

Menurutnya, hanya pacuan empat roda dan motosikal boleh masuk ke lokasi kebakaran kerana jarak lokasi dari jalan utama sejauh kira-kira 2.5 kilometer.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.42 tengah hari sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik bersama jentera dikejarkan ke lokasi.

“Anggaran ketinggian bukit itu adalah 400 meter dari aras laut dan Komander Operasi melaporkan tiada sumber air terbuka bagi operasi pemadaman.

“Anggota BBP Sik bertindak memadam kebakaran itu menggunakan ‘fire beater’ dengan bantuan kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri,” katanya.

Katanya, pihaknya sedang melakukan pemantauan bagi memastikan api dipadam sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2020 @ 7:16 PM