Keadaan kereta Toyota Vios yang terbakar di Bulatan Teluk Wan Jah, Alor Setar, hari ini. - Foto ZULIATY ZULKIFLI
Keadaan kereta Toyota Vios yang terbakar di Bulatan Teluk Wan Jah, Alor Setar, hari ini. - Foto ZULIATY ZULKIFLI
Zuliaty Zulkiffli


GURU wanita berusia 20-an bernasib baik sempat keluar dari kereta Toyota Vios yang terbakar selepas kejadian itu disedari anggota polis trafik bertugas mengawal lalu lintas di Bulatan Telok Wanjah, Alor Setar, hari ini.

Dalam kejadian 4.35 petang itu, mangsa memandu kereta rakan yang dipinjamnya itu tidak menyedari asap keluar dari kereta itu sebelum disedari anggota polis trafik terbabit yang segera menahan keretanya dan mengarahkan mangsa keluar.

Guru itu memberhentikan kereta dan keluar sebelum api merebak pantas membakar keseluruhan kereta.

Secara kebetulan sepasukan anggota Pasukan Bomba Sukarela melalui jalan itu ketika dalam perjalanan pulang memadam kebakaran dan mereka memadam kebakaran kereta berkenaan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Arizal Mahmud berkata, pihaknya menerima panggilan pada 4.40 petang berhubung kebakaran kereta dan tiba di lokasi jam 4.43 petang.

Beliau berkata, sembilan anggota dari BBP Alor Setar termasuk anggota dari Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan Unit RIM tiba di lokasi bersama sebuah jentera untuk memadam kebakaran.

“Bagaimanapun setiba di lokasi, kami dapati api sudah dipadamkan anggota bomba sukarela dan kita menjalankan kerja pemeriksaan.

“Kereta Toyota Vios itu terbakar keseluruhannya namun pemandunya berjaya keluar menyelamatkan diri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 7:12 PM