ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan mayat yang ditemui dalam Perodua Myvi di Hentian Rehat dan Rawat Ulu Bernam arah utara, hari ini. FOTO ihsan pembaca
ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan mayat yang ditemui dalam Perodua Myvi di Hentian Rehat dan Rawat Ulu Bernam arah utara, hari ini. FOTO ihsan pembaca
Md Fuzi Abd Lateh


ORANG awam gempar apabila menemui mayat di dalam Perodua Myvi di kawasan letak kereta hentian Rehat dan Rawat Hulu Bernam arah utara, jam 11.50 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arshad Kamaruddin berkata, mayat lelaki berusia 25 tahun itu ditemui orang awam sebelum melaporkan kepada polis.

Katanya, kereta berkenaan bagaimanapun berkunci dari dalam menyebabkan pasukan Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu terpaksa dipanggil.

“Pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor turut menjalankan siasatan di lokasi kejadian. Mangsa dipercayai mati dalam keretanya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, punca kematian mangsa masih dalam siasatan.

Katanya, setakat ini siasatan mendapati tiada unsur jenayah.

“Mayat dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2020 @ 10:43 PM