Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Kawasan rekreasi dan riadah di sekitar ibu negara masih menjadi tumpuan orang ramai meskipun jangkitan Covid-19 meningkat sejak beberapa hari lalu.

Tinjauan Harian Metro di Taman Botani Perdana, di sini mendapati orang ramai memanfaatkan hujung minggu untuk melakukan aktiviti bersama keluarga dan rakan dengan pematuhan tinggi terhadap prosedur operasi standard (SOP).

Walaupun jumlah pengunjung tidak ramai seperti kebiasaan, namun masih menjadi pilihan termasuk pengantin baharu untuk mengabdikan gambar perkahwinan seperti Mohd Khairul Amri Zakaria, 32.

Kata Mohd Khairul Amri, dia dan pasangannya memilih taman tasik itu kerana pemandangan yang menarik tetapi tetap mematuhi arahan ditetapkan kerajaan dalam mencegah Covid-19.

MOHD Khairul Amri dan pasangan memilih mengabdikan kenangan di Taman Botani Perdana. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
MOHD Khairul Amri dan pasangan memilih mengabdikan kenangan di Taman Botani Perdana. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.

"Orang pun tidak ramai tapi tetap kena patuh SOP. Jadi, kami ambil gambar dalam tempoh singkat dan terus beredar selepas itu," katanya.

Bagi penuntut Universiti Utara Malaysia, Izyan Syazwani Suratman, 21, riadah dengan cara norma baharu menjadi amalannya ketika ini demi memastikan tidak dijangkiti Covid-19.

"Sangat penting patuh SOP, pakai pelitup muka dan jaga jarak ketika di tempat awam demi keselamatan semua orang walaupun tujuannya untuk riadah," katanya.

ORANG ramai beriadah dengan mengekalkan jarak sosial di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
ORANG ramai beriadah dengan mengekalkan jarak sosial di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2020 @ 3:22 PM