WEE Ka Siong. FOTO Arkib NSTP
WEE Ka Siong. FOTO Arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


SEMUA perkhidmatan kaunter jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pengangkutan iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan LPKP Sarawak termasuk perkhidmatan JPJ di Pejabat Pos akan ditutup sepenuhnya mulai hari ini hingga 31 Mac 2020.

Menterinya Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, selain mengambil kira kesihatan awam dan kakitangan di barisan hadapan, keputusan itu juga dibuat selepas melihat kehadiran orang ramai ke kaunter jabatan dan agensi yang tidak dapat dikawal serta tidak selari dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bertujuan mengelakkan orang ramai daripada berhimpun.

Katanya, semua urusan berkaitan JPJ seperti memperbaharui cukai jalan kenderaan boleh dibuat secara dalam talian melalui portal mySIKAP AWAM JPJ dan perkhidmatan MYEG, https://www.myeg.com.my/

“Dalam masa sama, semua cawangan JPJ di seluruh negara termasuk aktiviti dan operasi penguatkuasaan akan terus berjalan seperti biasa dengan pengurangan kakitangan sepanjang tempoh PKP ini, demi menjamin tahap keselamatan orang ramai yang menggunakan jalan raya.

“JPJ juga akan memastikan semua anggota yang melaksanakan aktiviti penguatkuasaan untuk mengambil langkah-langkah keselamatan yang bersesuaian,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, selain itu, merujuk kepada Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan TempatJangkitan) 2020 berkuatkuasa mulai 18 hingga 31 Mac 2020 yang diwartakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), tiada peruntukan berhubung larangan pemanduan kenderaan barangan di jalan raya dalam tempoh terbabit.

Sehubungan itu katanya, JPJ tidak menguatkuasakan sebarang perintah larangan ke atas pergerakan kenderaan barangan dalam tempoh itu.

“Ini kerana JPJ berpandangan bahawa pergerakan kenderaan barangan di atas jalan raya bagi pengangkutan barangan keperluan harian adalah termasuk di dalam perkhidmatan perlu seperti dinyatakan di dalam Jadual Perkhidmatan Perlu Peraturan 2.

“Sebarang aduan atau pertanyaan sila emel ke [email protected] , atau WhatsApp ke 019-2907723 atau hotline kementerian di 1800-88-7723 (8 pagi hingga 6 petang) atau menghubungi Pusat Pengurusan Operasi Negara, Majlis Keselamatan Negara, di talian 03-88882010,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2020 @ 11:02 AM