ZAHID Hamidi. FOTO Arkib NSTP
ZAHID Hamidi. FOTO Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


UMNO akan terus memainkan peranan proaktif sebagai agen semak dan imbang terhadap kerajaan baharu bagi memastikan suara dan aspirasi rakyat terbela.

Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi berkata, Umno juga akan meneruskan agenda utama memperkasakan Muafakat Nasional dengan rakan Pas dan memperkukuhkan Barisan Nasional (BN) bersama rakan komponen MCA, MIC dan PBRS.

Menurutnya, demi memenuhi aspirasi rakyat dan memelihara kepentingan agama dan negara, beberapa tindakan harus segera diambil oleh kabinet baharu.

“Menubuhkan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat segala tuduhan salah laku dan penyelewengan Pakatan Harapan (PH) terhadap kerajaan BN dan pengurusan Tabung Haji terdahulu.

“Menilai semula semua keputusan penjualan secara lambak aset strategik negara dan agensi berkepentingan rakyat termasuklah Tabung Haji, Khazanah Nasional, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Zahid berkata, demi memenuhi prinsip “rule of the law” yang sebenar, Umno mendesak kes penyelewengan yang dihentikan perbicaraan kerajaan PH dibuka semula.

“Ia termasuklah kes skandal rasuah terowong dasar laut dan tiga lebuh raya membabitkan pemimpin DAP bernilai RM86.3 bilion.

“Menyegerakan siasatan dan pendakwaan terhadap mereka yang dikaitkan dengan pembunuhan Adib dan membatalkan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang sengaja mahu mengekang tugas polis,” katanya.

Beliau berkata, selain itu, diharapkan kerajaan baharu juga membekukan pemberhentian kakitangan awam berstatus kontrak, dasar pengurangan kakitangan awam dan mengkaji semula dasar bagi memastikan kebajikan penjawat awam terbela.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2020 @ 8:04 PM