Siti Aminah Mohd Yusof


Kepala Batas: Keserasian yang terbina antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada peringkat pimpinan pusat harus diterjemahkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi memastikan kepentingan rakyat terbela.

Ketua Jabatan Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata untuk tujuan tersebut pihaknya akan membawakan formula gagasan perpaduan dalam mewujudkan keselarian antara agenda pusat dan negeri.

"Saya sudah mengadakan pertemuan dengan perhubungan UMNO di enam negeri yang kesemuanya mempunyai kesiapsiagaan yang tinggi dan bukan persediaan UMNO dan BN sahaja penting bahkan juga membina keserasian bersama rakan komponen parti yang baharu.

"Kalau berada dalam keadaan tidak serasi, tempang, mana mungkin kita nak bagi jaminan kepada rakyat pembelaan dapat dilakukan dengan baik kita tak nak pusat kata lain, negeri kata lain.

"Kadang-kadang orang luar datang ke negara kita, lihat berpolitik tidak berkesudahan, sedangkan sama ada menang atau kalah kita mempunyai tanggungjawab kepada rakyat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau yang juga Ketua Bahagian UMNO Kepala Batas menyampaikan bantuan barangan keperluan dan duit raya kepada 450 warga emas, anak yatim dan asnaf di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Ahmad Badawi anjuran UMNO Bahagian Kepala Batas.

Reezal Merican berkata, persiapan UMNO dalam berdepan PRN sudah mencapai 80 peratus dan beliau melihat keazaman tinggi ditunjukkan semua pihak termasuk kepimpinan parti BN-PH di Pulau Pinang yang menunjukkan keserasian yang amat baik pada ketika ini.

Mengulas kenyataan penganalisis politik yang baru-baru ini mendakwa UMNO sukar meraih sokongan orang Melayu beliau berkata sesuatu analisis tidak semestinya memberi gambaran secara keseluruhan kerana ia bersifat sangat dinamik dan boleh berubah pada bila-bila masa.

"Saya tak mahu kita terlalu tenggelam dengan pandangan dan analisa yang mungkin saja ada ketepatan, tetapi mungkin juga bacaan (penganalisis) bergantung kepada situasi tersebut.

"Kalau kita ikhlas mendampingi rakyat secara bersungguh bukan sebab kita hanya nak berpolitik saja tapi nak persembahkan agenda menjamin rakyat maka rakyar akan pilih kepada kestabilan," katanya.

Beliau turut berpendapat pola pengundian PRN tidak sama ketika Pilihan Raya Umum ke-15 yang dipimpin kerajaan 'caretaker' dengan Kerajaan Perpaduan yang terbentuk pada masa kini mempunyai jumlah kerusi yang agak besar dan telah diperakui keabsahannya.

"Maka saya melihat akan ada pertimbangan baharu dengan pengundi boleh melihat kepada semak dan imbang misalnya jika mereka sudah memilih Parlimen dari pembangkang mungkin mereka akan memilih ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) pihak kerajaan pula jadi saya rasa rakyat akan mendapat peluang untuk buat penilaian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2023 @ 12:36 AM
Reezal Merican ketika ditemui pada Majlis Bantuan Aidilfitri Parlimen Kepala Batas di dewab Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Ahmad Badawi di sini. FOTO DANIAL SAAD
Reezal Merican ketika ditemui pada Majlis Bantuan Aidilfitri Parlimen Kepala Batas di dewab Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Ahmad Badawi di sini. FOTO DANIAL SAAD