Norsyazwani Nasri

JUMLAH kedatangan pelancong ke Sarawak merudum susulan penularan Covid-19 termasuk sekatan kemasukan warga dari negara terjejas wabak itu.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata,

sepanjang Februari tahun ini jumlah kedatangan pelancong turun 7.2 peratus bersamaan 311,168 orang berbanding 336,488 dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Katanya, sehubungan itu kementeriannya melaksanakan strategi bagi memulihkan industri pelancongan yang terjejas akibat Covid-19.

“Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) mengambil keputusan untuk mempergiatkan promosi pelancongan domestik.

“Ini adalah antara langkah yang kita ambil bagi memulihkan sektor pelancongan yang terjejas teruk,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelancongan Negeri yang pertama tahun ini di Kuching, hari ini.

Abdul Karim berkata, pihaknya akan memantau trend kedatangan pelancong ke negeri ini bagi bermula Mac hingga Julai.

“Melalui promosi pelancongan domestik yang dibuat, kita akan dapat melonjakkan kembali sektor pelancongan.

“Kesannya akan dapat dilihat kepada industri bermula pertengahan tahun ini, malah kita mengharapkan Covid-19 yang menjadi kebimbangan masyarakat segera pulih,” katanya.

Beliau berkata, sebelum penularan wabak Covid-19, berdasarkan statistik pada Januari tahun ini jumlah kedatangan pelancong meningkat sebanyak 16.17 peratus.

“Peningkatan ketara iaitu 419,776 pelancong berbanding 361,334 pelancong pada Januari tahun lalu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2020 @ 5:12 PM