RHYMIE (tengah) diiringi pegawai SPRM sebaik dituduh di Mahkamah Khas Rasuah, Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming
RHYMIE (tengah) diiringi pegawai SPRM sebaik dituduh di Mahkamah Khas Rasuah, Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming

SEORANG pemandu Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Tawau, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di Tawau, hari ini atas tiga pertuduhan menerima suapan bernilai keseluruhan RM5,000 tiga tahun lalu.

Rhymie Kasim, 50, membuat pengakuan itu dan meminta dibicarakan sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa secara rasuah menerima wang tunai RM4,000 daripada Samsudeen Rabeek, sebagai dorongan untuk mengurangkan jumlah kompaun yang dikenakan terhadap bapanya, Rebeek Chinna Meera.

Kesalahan itu masing-masing didakwa dilakukan di Restoran Yassin Curry House dan di hadapan kedai Al-Hajee Mewah Sdn Bhd, Jalan Chester dekat sini pada 3 dan 4 Julai 2017.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh secara rasuah memperoleh RM1,000 daripada individu sama sebagai suatu dorongan untuk tidak mengenakan kompaun terhadap kedai Al-Hajee Mewah Sdn Bhd atas kesalahan di bawah Seksyen 18 (1) Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) kerana gagal menyediakan kontrak perkhidmatan pekerja yang boleh didenda di bawah Seksyen 130D (b) Ordinan yang sama.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan Bank Rakyat Cawangan Tawau, pada 14 April 2018.

Rhymie didakwa Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).

Jika disabit kesalahan, boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali ganda daripada nilai suapan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Faliq Basirudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Hakim Abu Bakar menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan serta perlu melapor diri ke SPRM sekali dalam tempoh dua bulan selain menyerahkan pasport antarabangsa dan tidak boleh mendekati saksi.

Mahkamah turut menetapkan 16 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2020 @ 3:57 PM