Rafidah Mat Ruzki dan Mohd Anwar Patho Rohman


TAN Sri Muhyiddin Yassin mahu setiap kementerian dan jabatan kerajaan mengemukakan cadangan bersesuaian berkaitan dasar pembangunan untuk manfaat rakyat dan kumpulan tertentu, termasuk pelabur.

Perdana Menteri menjelaskan, langkah itu perlu kerana kerajaan yang terbentuk hari ini diasaskan dalam keadaan luar biasa tanpa manifesto khusus.

“Banyak perkara disentuh dalam mesyuarat hari ini, umpama kita kerajaan baharu dibentuk, rakyat dan mungkin pelabur asing luar negara (mahu tahu) apa dasar Perikatan Nasional (PN) yang dibentuk hari ini.

“Disebabkan kita tiada manifesto, terbentuk dalam keadaan luar biasa, kita putuskan setiap kementerian dan jabatan akan kemukakan cadangan, perkara yang akan dilaksanakan, yang akan memberi manfaat dan faedah sebenar.

“Apa terkandung dalam kerajaan hari ini, tawaran baharu untuk rakyat Malaysia, akan kita umumkan dalam tempoh seberapa segera, perkara yang akan kita berikan perhatian, tempoh setahun, penggal ini tamat, sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertama di Bangunan Putra Perdana di Putrajaya, hari ini.

Kerajaan yang dibentuk hari ini adalah kerjasama baharu antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada akhir bulan lalu.

 MUHYIDDIN ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet pertama di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
MUHYIDDIN ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet pertama di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Muhyiddin menambah, apa juga dasar dan langkah yang dirancang kerajaan pimpinan PN adalah untuk semua rakyat Malaysia dan tertumpu kepada kaum tertentu saja.

“Saya nak nak tegaskan begitu, kerajaan kita tidak berikan keutamaan kepada kumpulan tertentu masyarakat, sebaliknya kerajaan ini mewakili semua kaum termasuk etnik di Sabah dan Sarawak.

“Jemaah Menteri akan bekerja untuk semua rakyat Malaysia, kita akan berlaku adil kepada semua masyarakat.

“Siapa yang perlu dapatkan bantuan, akan diberikan, sokongan diberikan oleh kerajaan, ini keyakinan kepada rakyat.

“Kita di sini untuk dambakan diri kepada semua, anggap kita ini hamba kepada rakyat, kita akan bantu mana yang perlu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Kabinet baharu |

  • Barisan Kabinet baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2020 @ 6:46 PM