GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Audrey Dermawan


LELAKI ditemui mati dengan tangan dan kakinya berikat, manakala muka ditutup sarung bantal di rumahnya di Flat Taman Pauh dekat Bukit Tengah, Seberang Prai, malam tadi.

Penemuan mangsa berusia 48 tahun yang dipercayai dibunuh selepas penduduk terhidu bau busuk di kediaman berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Prai Tengah Superintendan Mohd Mustafa Bidin berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian pada 9.45 malam dan ketika anggotanya tiba, pintu jeriji dan utama rumah berkunci.

“Namun, kipas dan lampu di ruang tamu terbuka. Pemeriksaan lanjut menemui mangsa terlentang berhampiran katil di bilik utama rumah dengan tangan dan kaki berikat wayar, manakala kepalanya diserkup sarung bantal warna merah.

“Keadaan mayat itu sudah mula mengembung serta berbau busuk, dan lelaki itu dipercayai telah meninggal dunia sejak beberapa hari lalu. Turut ditemui telefon bimbit dan dompet mangsa,” katanya hari ini.

Beliau berkata, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat dan pihaknya kini giat memburu suspek untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2020 @ 11:31 AM