Audrey Dermawan


Prai: Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah memulakan siasatan susulan kejadian ribuan ikan mati terapung di Sungai Prai di sini selepas air pasang, semalam.

Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, mereka sudah mengambil sampel air dan bangkai ikan untuk diuji.

Katanya, JAS dan Jabatan Perikanan baharu memulakan siasatan selepas mendapat maklumat semalam dan terlalu awal untuk membuat kesimpulan hasil siasatan.

"Sama ada air itu beracun (tercemar) atau tidak, kita belum tahu. Ini juga mungkin fenomena semula jadi. Masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan.

"Kami juga memerlukan maklumat daripada siasatan Jabatan Perikanan negeri berhubung kejadian ini," katanya.

Pemeriksaan di Sungai Prai petang tadi mendapati beberapa pegawai JAS mengambil sampel berhampiran lokasi ikan mati.

Sampel diambil di empat lokasi, dengan dua sampel dari setiap lokasi.

Ini adalah kali kedua sampel diambil selepas semalam.

PEGAWAI JAS Pulau Pinang mengambil sampel air di Sungai Prai. FOTO Danial Saad
PEGAWAI JAS Pulau Pinang mengambil sampel air di Sungai Prai. FOTO Danial Saad

NST semalam melaporkan bahawa ribuan ikan mati terapung di Sungai Prai di sini selepas air pasang.

Penduduk Taman Kimsar yang berhampiran melihat kejadian itu pada 2.30 petang, sebelum memaklumkan ahli Majlis Majlis Bandaraya Seberang Prai (MBSP) David Marshel.

David, yang pergi ke lokasi itu bersama dengan Timbalan Ketua Menteri II Dr P Ramasamy, hari ini menasihat nelayan dan pemancing agar tidak mengutip ikan itu untuk dimakan atau dijual.

Dia juga menasihati mereka berhenti memancing di Sungai Prai buat masa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2021 @ 6:00 PM