GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Zuhainy Zulkiffli


POLIS menahan dua lelaki berusia 20-an bagi membantu siasatan penemuan mayat lelaki di Flat Taman Pauh Indah, Bukit Tengah, Bukit Mertajam, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Superintendan Mohd Mustafa Bidin berkata, siasatan awal mendapati suspek yang ditahan itu kenalan mangsa.

“Laporan bedah siasat di Hospital Seberang Jaya mendapati kematian mangsa berpunca daripada kelemasan akibat sukar bernafas.

“Kedua-dua suspek masih ditahan bagi siasatan lanjut,” katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan misteri bau busuk di flat berkenaan membawa kepada penemuan mayat terbabit pada jam 9.45 malam.

Mangsa yang berusia 48 tahun itu ditemukan dalam keadaan kaki dan tangannya diikat manakala kepala diserkup dengan sarung bantal.

Pemeriksaan pada mangsa mendapati lelaki itu dipercayai sudah meninggal dunia sejak beberapa hari lalu.

Keadaan rumah dan bilik mangsa juga didapati berselerak namun beg duit mangsa serta telefon bimbit tidak dicuri.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2020 @ 11:08 PM