KEADAAN dua buah rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Tanah Merah, Sungai Imam. Susianti  (gambar kecil). FOTO Abdul Rahemang Taiming
KEADAAN dua buah rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Tanah Merah, Sungai Imam. Susianti (gambar kecil). FOTO Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming


“DENGAN kudrat yang ada saya memapah bapa keluar kerana api semakin marak,” kata Susianti Asis, 27, yang berjaya menyelamatkan bapanya, Asis Abdullah, 67, selepas rumah mereka di Kampung Tanah Merah, Sungai Imam di Tawau, terbakar malam tadi.

Kejadian 11.50 malam itu menyebabkan penghuni dua buah rumah tinggal sehelai sepinggang akibat musnah sepenuhnya.

Susianti berkata, dia menyedari api marak serta merebak di bahagian dapur apabila terasa bahang panas dan asap menyelubungi ruang dalam rumahnya.

“Mujur ketika itu kami belum tidur dan dalam keadaan panik itu ibu sempat menyelamatkan dokumen penting.

“Oleh kerana bapa tidak dapat berjalan, saya mengerah segala tenaga yang ada memapahnya keluar dan membawanya ke tempat selamat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

“Katanya, dia bersyukur ibu dan bapanya tidak mengalami sebarang kecederaan, namun sedih apabila rumah mereka musnah sama sekali.

Sementara itu, Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Zulbada Alior berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.59 malam.

Menurutnya, 13 anggota bersama tiga jentera dikerahkan ke lokasi.

“Tindakan pantas anggota bomba berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak ke rumah berdekatan sebelum api dapat dikawal 50 minit kemudian,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada 2.10 pagi dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan manakala punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2020 @ 3:09 PM