Suliati Asri


'SPM Batch Corona.' Itu antara gelaran yang diberikan sesetengah masyarakat kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang baru menerima keputusan.

Ketika seantero dunia termasuk Malaysia berusaha memerangi penularan pandemik Covid-19 yang sehingga kini belum ada penghujungnya, calon SPM juga bergelut dengan cabaran tersendiri.

Selain penutupan sekolah dan pelaksanaan kaedah pembelajaran dalam talian menggantikan kaedah konvensional iaitu secara bersemuka, penangguhan tarikh peperiksaan SPM sebanyak dua kali memberi tamparan hebat buat mereka.

Namun, menyedari tanggungjawab sebagai pelajar dan keazaman yang tinggi untuk berjaya, semua itu bukan penghalang untuk cemerlang dalam SPM.

Pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Mustapha, Tawau, Sabah, Ulfah Tiara Hassan berkata, di awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia tidak memberi impak besar kerana beranggapan masih boleh belajar di rumah.

Tetapi, selepas PKP disambung sehingga beberapa bulan, kata Ulfah Tiara, perasaan tertekan itu mulai dirasai. Maklum saja berada di rumah ada banyak gangguan.

"Di rumah, disiplin diri susah dijaga. Kadang-kadang lambat bangun dan lambat masuk kelas. Ada masa, rasa malas untuk menyiapkan kerja yang diberikan guru selain banyak gangguan termasuk gajet. Memang banyak kali rasa hilang semangat.

"Tetapi, lepas sekolah dibuka kembali dan melihat kegigihan rakan-rakan belajar hampir setiap masa, saya kembali bersemangat," katanya.

Dibesarkan oleh ibu tunggal yang hanya bekerja sebagai tukang bersih, Ulfah Tiara nekad untuk berjaya seterusnya mengubah kehidupan keluarganya.

MRSM banyak melahirkan pelajar cemerlang dalam akademik.
MRSM banyak melahirkan pelajar cemerlang dalam akademik.

Justeru, sejak tingkatan satu lagi, dia sudah fokus untuk mendapat 9A bagi melayakkannya mendapatkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di menara gading.

"Saya tahu, ibu tidak mampu untuk membiayai pengajian saya di peringkat tinggi, sebab itu saya benar-benar mahu mendapatkan biasiswa.

"Malah, saya juga mahu membuktikan kepada masyarakat walaupun dibesarkan oleh ibu tunggal, namun saya mampu berjaya seperti orang lain yang dibesarkan kedua-dua ibu bapa mereka," kata anak keempat daripada lima beradik ini.

Berkongsi kegembiraan menerima keputusan SPM baru-baru ini, kata Ulfah Tiara, melihat kegembiraan ibunya ibarat membayar segala penat lelahnya belajar.

"Sebagai anak harapan keluarga, saya tidak mahu kecewakan mereka. Harapan mereka terhadap saya sangat tinggi. Jadi, saya belajar bersungguh-sungguh.

"Alhamdulillah, ia membuahkan hasil," katanya yang berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan.

Ulfah Tiara adalah seorang daripada pelajar MRSM yang menyenaraikan 1,098 calon berjaya memperoleh semua A (A+, A dan A-) termasuk 22 calon mendapat semua A+.

Lebih membanggakan apabila 456 pelajar di bawah program Budi Mara (Bantuan untuk Pendidikan di bawah kategori B40) lulus cemerlang manakala 12 daripadanya memperoleh semua A (A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran.

Ini menunjukkan sistem pendidikan MRSM membuka peluang kepada pelajar yang kurang berkemampuan untuk mendapat pendidikan terbaik di MRSM.

UFTAH Tiara sentiasa fokus untuk dapat keputusan 9A bagi memperoleh biasiswa untuk melanjutkan pengajian ke menara gading seterusnya berjaya mencapai cita-citanya.
UFTAH Tiara sentiasa fokus untuk dapat keputusan 9A bagi memperoleh biasiswa untuk melanjutkan pengajian ke menara gading seterusnya berjaya mencapai cita-citanya.

Bagi Muhammad Adam Firdaus Mohd Daud, pelajar MRSM Tun Ghaffar Baba, Jasin, Melaka, dia tidak menyangka akan memperoleh keputusan 9A.

"Pandemik Covid-19 ini memberikan tekanan kepada saya selain sedikit kurang yakin untuk menghadapi peperiksaan.

"Saya juga tidak menafikan saya berusaha keras untuk berjaya. Alhamdulillah, sebelum peperiksaan saya kembali yakin, sekali gus membolehkan saya menjawab kertas soalan dengan baik.

"Apabila melihat keluarga gembira dengan keputusan yang diperoleh, saya turut gembira," katanya yang merancang untuk mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan, elektrik ataupun robotik.

Ditanya mengenai cabaran dan pengalaman Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), kata Muhammad Adam, sebenarnya cabaran utama adalah keinginan sendiri untuk belajar dan gangguan sekeliling iaitu gajet dan televisyen.

"Duduk di rumah, perasaan malas untuk belajar memang tinggi. Selain itu, kena mengawal diri dari terlalu banyak bermain gajet juga sangat susah.

"Belajar secara dalam talian juga memberikan sedikit kesukaran kerana kita tidak bersemuka dengan guru dan ada masanya gangguan internet menyukarkan proses pembelajaran," katanya.

Namun, Muhammad Adam bersyukur kerana walaupun tidak berada di sekolah, pihak MRSM banyak membantu selain guru juga sentiasa bersemangat mengajar.

Apabila kembali ke sekolah, guru memberikan banyak latih tubi yang banyak membantu ketika menjawab soalan peperiksaan SPM.

Katanya, dengan keadaan pandemik dan cabaran yang dilalui, putus asa itu nyata dirasai, tetapi berpegang kembali kepada misi untuk berjaya, sekali gus mahu mengubah kehidupan keluarga, semangat itu kembali berkobar-kobar.

"Sebagai anak bongsu daripada 10 beradik, saya adalah harapan keluarga. Oleh itu, ketika kali pertama masuk MRSM, saya menanam azam untuk berjaya supaya dapat membantu keluarga kelak.

UFTAH Tiara bergambar bersama ibu, Sri Murti Umar ketika menerima keputusan 9A.
UFTAH Tiara bergambar bersama ibu, Sri Murti Umar ketika menerima keputusan 9A.

"Saya juga mempunyai misi untuk berbakti kembali kepada masyarakat kerana bantuan yang saya terima menerusi Program Budi Mara datangnya daripada masyarakat juga.

"Jadi, bila saja berjaya nanti, saya boleh membantu masyarakat yang memerlukan dan dalam kesusahan," katanya.

"Kepada adik-adik yang kini melalui PdPR, nasihat saya jaga diri sendiri. Apabila kita malas untuk belajar sekarang, ketika peperiksaan akan tiba nanti, kita juga yang penat untuk belajar semula dari awal.

"Kita juga perlu sentiasa ingat, jangan ingin berasa seronok hari ini, tetapi biar kita merasai keseronokan pada masa akan datang bila sudah berjaya nanti," tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah Mara, Wan Ainizah Ariffin berkata, pihaknya bersyukur kerana ramai pelajar MRSM terutama pelajar Budi Mara mendapat keputusan cemerlang.

Menurutnya, penerima Budi Mara adalah pelajar miskin tegar B40 (B1) dengan pendapatan keluarga di bawah RM1,500 dengan lima tanggungan.

"Jadi, ketika pelaksanaan PKP 1.0 tahun lalu, kebanyakan pelajar mempunyai masalah gajet. Tapi, kebanyakan penaja kita memberi bantuan, sekali gus dapat membekalkan mereka gajet untuk PdPR.

"Persatuan Bekas Pelajar MRSM (Ansara) juga berikan bantuan kewangan untuk membantu dalam pembelian gajet.

"Kami juga mendapat sokongan daripada Badan Permuafakatan Pendidikan Mara Malaysia (Muafakat)

yang memberi sumbangan kepada pelajar B40," katanya.

"Dengan itu, kami bukan saja dapat memberi bantuan gajet kepada pelajar, tetapi dapat menyelesaikan masalah lain termasuk pembelian talian telefon," tambahnya.

Bukan hanya PKP, penangguhan tarikh peperiksaan SPM juga memberi tamparan hebat buat pelajar. Dalam hal ini, MRSM tidak mengabaikan pelajarnya.

Kata Wan Ainizah, dari segi perkembangan emosi, MRSM memanfaatkan sepenuhnya sistem Homeroom iaitu sistem di mana guru berperanan sebagai pengganti ibu bapa di MRSM.

"Walaupun mereka tidak dapat bersemuka, tetapi untuk pastikan kestabilan emosi mereka, guru membuat perjumpaan secara dalam talian.

"Sesi pertemuan dalam talian tidak membincangkan isu berat. Hanya bertanya khabar serta perkongsian bersama guru Homeroom mereka.

"Biasanya pelajar ini bukan apa, kekangan mereka hanya mahu didengari. Jadi, bila kami sediakan platform Homeroom ini, untuk mereka kongsi pengalaman, sepanjang tempoh PKP," katanya.

"Apabila masing-masing berkongsi masalah yang dihadapi, ia dapat membantu mengurangkan kerisauan dan tekanan mereka,

" katanya yang cukup gembira dengan kecemerlangan

pelajar MRSM pada SPM 2020 ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 7:01 AM