KEADAAN kereta yang hilang kawalan dan merempuh kedai serbaneka di sebuah stesen minyak di Tanah Merah. FOTO Ihsan Pembaca.
KEADAAN kereta yang hilang kawalan dan merempuh kedai serbaneka di sebuah stesen minyak di Tanah Merah. FOTO Ihsan Pembaca.
Syaherah Mustafa


AKIBAT tersalah tekan pedal minyak, kereta dipandu seorang wanita merempuh dan terperosok ke dalam kedai serbaneka di sebuah stesen minyak berhampiran, Jalan Pasir Mas -Tanah Merah, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan, Zainuddin Md Yusuf berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu daripada orang awam pada 1 tengah hari.

“Siasatan awal mendapati pemandu kereta Proton Saga berusia 58 tahun itu berkenaan singgah di stesen minyak terbabit untuk mengambil wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

“Namun, tanpa disedari wanita itu tertekan pedal minyak menyebabkan keretanya hilang kawalan lalu merempuh cermin kaca dan terperosok ke dalam kedai terbabit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zainuddin berkata, pemandu tidak mengalami kecederaan serius, tetapi sakit di bahagian dada dipercayai akibat hentakan pada stereng kereta.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas, Akta Pengangkutan Jalan 166/59.

“Pihak kami difahamkan, ketika kejadian pelanggan tidak ramai, tetapi beberapa barangan termasuk peti ais rosak akibat rempuhan.

“Sementara kereta berkenaan rosak di bahagian depan dan pecah cermin,” katanya yang menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika mengendali kenderaan selain mengutamakan keselamatan di jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 8:24 PM