CHUAH Bee Tian diapit ibu bapanya selepas mengambil slip keputusan SPM. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
CHUAH Bee Tian diapit ibu bapanya selepas mengambil slip keputusan SPM. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


BIJAK mengurus masa antara pelajaran dan membantu bapanya di kedai runcit membolehkan pelajar ini meraih keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019.

Malah, Chuah Bee Tian, 18, turut dinobatkan calon terbaik bagi Perlis selepas memperoleh 11A+.

Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, dia membuat jadual belajar sendiri supaya dapat membahagikan masa dengan baik dan ia membantunya menjadi lebih disiplin.

Anak kepada Chuah Beng Kok, 56, dan Lee Suan Sim 45, itu juga memberitahu mengamalkan kehidupan sederhana di rumah yang menjadi pemangkin kepada kejayaan itu.

“Walaupun jadual belajar saya yang mengaturnya sendiri, tetapi saya mesti melatih diri sendiri untuk berdisiplin.

“Ada ketikanya saya berehat seketika kemudian menyambung ulang kaji pelajaran sambil mendengar muzik jika rasa tertekan,” katanya ketika ditemui di sekolahnya, Sekolah Menengah Kebangsaan Derma, hari ini.

Dia memberitahu mahu menyambung pengajian di universiti awam di ibu negara dan mendapatkan biasiswa demi mengejar cita-cita sebagai akauntan.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Perlis, Izmi Ismail berkata, negeri itu mencatatkan Gred Purata Negeri (GPN) 5.18 berbanding 5.09 pada 2018.

Manakala, seramai 43 calon memperoleh keputusan semua A.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 6:13 PM