Muhammad Zahir Mohd Zaidi, 18, yang memperoleh keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 9A+ dan 1A yang diumumkan hari ini. FOTO IHSAN MUHAMMAD ZAHIR
Muhammad Zahir Mohd Zaidi, 18, yang memperoleh keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 9A+ dan 1A yang diumumkan hari ini. FOTO IHSAN MUHAMMAD ZAHIR
Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: "Saya hadiahkan keputusan ini kepada ibu bapa terutama ayah yang menghidap penyakit jantung. Ayah disahkan menghidap sakit jantung sejak dua minggu lalu dan dia gembira melihat keputusan yang saya perolehi hari ini," kata Muhammad Zahir Mohd Zaidi, 18.

Dia bersyukur memperoleh keputusan cemerlang Sijip Pelajaran Malaysia (SPM) untuk dihadiahkan kepada bapanya, Mohd Zaidi Mohd Zain, 55, dan ibu, Muna Ab Rahman, 55.

Dia yang memperoleh 9A+ dan 1A berkata, walaupun tahun lalu banyak cabaran apabila berdepan wabak Covid-19, namun ia tidak menjadi halangan kepadanya untuk berusaha bersungguh-sungguh.

Menurutnya, solat hajat setiap malam dan sering bertanya kepada guru menjadi resipi kejayaannya.

Pelajar Sekolah Menengah Sains Machang itu berkata, dia banyak mengikuti kelas menerusi kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan akan mengulang kaji pelajaran setiap hari.

"Saya akan meluangkan masa paling kurang dua jam sehari untuk mengulang kaji pelajaran. Saya akan membaca beberapa kali untuk lebih faham dan jika tidak memahami sesuatu subjek, saya akan terus bertanya kepada guru.

"Guru-guru sentiasa bersedia dan membantu memberi bimbingan walaupun belajar secara dalam talian. Keputusan hari ini adalah hasil usaha gigih semua guru.

"Belajar secara bersemuka dengan PdPR sangat berbeza, namun saya tidak menjadikan perkara itu sebagai halangan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Anak kedua daripada tiga beradik yang tinggal di Kampung Kasa, dekat Pasir Mas berkata, pelbagai cabaran yang dihadapi calon SPM tahun lalu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus berusaha.

Anak kepada pasangan guru ini bercadang mahu menyambung pelajaran dalam bidang akaun kerana mahu menjadi akauntan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 5:44 PM