Nuraqilah Atikah menunjukkan sijil penghargaan kepada ibu bapanya selepas menerima BKMB. FOTO Zulkepli Osman
Nuraqilah Atikah menunjukkan sijil penghargaan kepada ibu bapanya selepas menerima BKMB. FOTO Zulkepli Osman
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


WALAUPUN ibu bapanya berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) namun tidak sedikitpun mematahkan semangatnya untuk berjaya dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2018 apabila memperoleh keputusan 4A.

Lebih manis kejayaan dikecapi Nuraqilah Atikah Mat Sarif, 19, membuatkannya selangkah ke menara gading untuk mencapai cita-cita bergelar akauntan.

Menurutnya, dia tidak malu apabila ibunya, Norlin Zarena Abdullah, 56, dan bapanya, Mat Sarif Arof, 56, berstatus OKU kerana ia menjadi pemangkin kejayaan untuk dia membela mereka pada masa hadapan.

“Ayah bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan RM500 sebulan selain turut menerima bantuan JKM.

“Adik masih bersekolah dan ayah perlu menanggungnya. Saya perlu berusaha keras untuk menjadi akauntan seterusnya boleh membantu mereka kelak,” katanya.

Dia ditemui selepas menerima Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar Pahang (BKMB) berupa insentif wang tunai berjumlah RM1,000 di Wisma Sri Pahang, Kuantan hari ini.

Pelajar Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Dong itu berkata, dia kini menunggu tawaran melanjutkan pelajaran ke Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bidang perakaunan dan berharap permohonannya diterima.

Menceritakan kejayaannya dalam STPM, anak sulung daripada dua beradik itu memaklumkan dia hanya fokus dalam kelas dan memberi tumpuan kepada guru yang mengajar.

“Lepas habis kelas ada kelas tambahan hingga jam 4 petang, jika tak faham saya bertanya kepada guru,” katanya.

Sementara itu, Mat Sarif berkata, kecacatan tangan kanannya sejak kecil tidak menghalangnya mencari rezeki untuk isteri dan dua anak perempuannya.

“Alhamdulillah saya dan isteri yang kini berkerusi roda turut mendapat bantuan JKM.

“Saya berdoa anak saya dapat memasuki universiti supaya dia boleh mengejar cita-citanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 12:18 PM