NURMIZA bersama ibu bapanya. FOTO AMIR MAMAT
NURMIZA bersama ibu bapanya. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat

BERKONGSI ilmu membantu Nurmiza Masri mencapai keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysian (SPM) yang diumumkan hari ini.

Pelajar Sekolah Menengah Sains Muzzaffar Shah itu juga kerap berkongsi ilmu bersama rakan terutama membabitkan mata pelajaran penting seperti Matematik dan Bahasa Inggeris.

Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, walaupun ada masanya dia turut sibuk mentelaah pelajaran tetapi dia tetap meluangkan masa untuk mengajar atau menerangkan sesuatu mata pelajaran kepada beberapa rakannya jika mereka meminta untuk berbuat demikian.

Menurutnya, dengan cara itu bukan sahaja dia dapat berkongsi ilmu, malah membuatkannya lebih faham akan sesuatu mata pelajaran.

“Saya selalu mengajar kawan-kawan dalam mata pelajaran yang mereka tidak faham, walaupun ada yang saya sendiri tidak faham tetapi saya akan cuba terangkan kepada mereka dan itu membuatkan kefahaman mengenai sesuatu mata pelajaran semakin bertambah.

“Hubungan dengan Allah dan ibu bapa juga perlu dijaga untuk mendapatkan keberkatan bagi memudahkan urusan kita,” katanya yang memperoleh 9A+ dan diumumkan antara 10 pelajar cemerlang SPM Melaka.

Dia yang bercita-cita menjadi ahli kimia berkata, amalan puasa sunat turut membantu memudahkannya mengulang kaji pelajaran selain tidak meletakkan tekanan pada diri menjelang peperiksaan.

Sementara itu, bagi S Yuvaanraj yang memperoleh 11A+ pula berkata, amalan belajar di saat akhir yang sering dilakukannya sebelum ini membantu dia memperoleh keputusan cemerlang.

“Setiap orang mempunyai cara berbeza, kita tidak boleh mengikut cara orang. Apa yang saya lakukan adalah kumpul semua apa yang diajar dan akan ulang kaji di saat akhir.

“Tetapi paling penting adalah perhatian dalam kelas ketika guru mengajar, jika kita leka dan tidak memberi perhatian, itu amat sia-sia kerana banyak benda akan ketinggalan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 3:54 PM