ZHI Han (tengah) bergambar bersama ibu bapanya Magdalene Yee (kanan) dan Ting Sing Moh selepas memperolehi keputusan 11A dalam SPM 2019.
ZHI Han (tengah) bergambar bersama ibu bapanya Magdalene Yee (kanan) dan Ting Sing Moh selepas memperolehi keputusan 11A dalam SPM 2019.
Suraya Roslan dan Murnaena Muhammad Nasir


TIADA istilah bulan madu ketika berada di tingkatan empat antara resipi kejayaan pelajar cemerlang di Kuala Lumpur dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 yang memperoleh keputusan 11A+.

Bagi Ting Zhi Han, 17, daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (L) Methodist Jln Hang Jebat berkata, dia mengulangkaji pelajaran bermula tingkatan empat tanpa perlu berhempas pulas ketika di tingkatan lima.

“Ketika berada di tingkatan empat, saya tidak pernah merasai istilah ‘honeymoon’, saya berusaha mengulangkaji dan memahami setiap mata pelajaran.

“Jadi ketika di tingkatan lima, saya hanya mengambil masa sejam setiap hari untuk mengulangkaji dan mengingat semula subjek di pelajari di sekolah,” kata anak sulung daripada tiga beradik itu.

Anak kepada ejen insurans dan guru tuisyen itu berkata, disiplin, bimbingan guru dan sokongan daripada rakan antara yang dititikberatkan untuk cemerlang dalam pelajaran.

Selain itu, bagi rakan sekolah Zhi Han, Chirag Malani, 17, yang cemerlang dengan keputusan 9A+ berkata, kunci kejayaannya adalah tidak malu bertanya kepada guru dan rakan yang lebih pandai.

“Saya bercita-cita menjadi seorang jurutera dan berharap dapat meneruskan pelajaran dalam bidang berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Nur Najiha Zaharuddin, 17, daripada Sekolah Menengah Sains Seri Puteri yang turut memperoleh 9A+ berkata, dorongan keluarga serta menjaga hubungan dengan Tuhan adalah kunci kejayaannya.

Anak sulung daripada tiga adik beradik itu berkata, kejayaan yang diperolehnya diharapkan menjadi contoh kepada adik beradik yang lain.

“Selain daripada belajar bersungguh-sungguh, saya sarankan kepada pelajar lain menunaikan solat sunat setiap hari untuk mendapatkan keberkatan dalam menuntut ilmu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 3:41 PM