Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyampaikan sijil pelajar terbaik STPM 2015 kategori Orang Asli kepada Loke. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyampaikan sijil pelajar terbaik STPM 2015 kategori Orang Asli kepada Loke. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Nursyahirah Marzuki


Putrajaya: Pernah berputus asa dan berhasrat berhenti belajar, namun hasil motivasi dan sokongan daripada ibu bapa serta guru, Loke Chia Chien A/L Loke Heng Fait, 20 berjaya menjadi Pelajar Cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2015 (Kategori Orang Asli).

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rompin, Pahang itu memperoleh

Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 bagi empat mata pelajaran yang diambil iaitu Pengajian Am, Bahasa Melayu, Geografi dan Ekonomi.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, dia tidak menyangka tersenarai sebagai pelajar terbaik kerana pernah terfikir untuk berhenti belajar.

"Saya pernah rasa putus asa dan enggan meneruskan pembelajaran tetapi sokongan dan motivasi dari ibu bapa serta guru berjaya membangkitkan semangat saya.

"Sejak dari itu, saya mula belajar bersungguh-sungguh dan memberi tumpuan dalam kelas untuk memberi peluang kepada diri saya untuk berjaya," katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian anugerah sekolah terbaik dan pelajar terbaik STPM dan MUET 2015 di sini hari ini.

Chia berkata, dia menggunakan masa dengan sebaik mungkin untuk mengulangkaji pelajaran.

Dia juga tidak ke pusat tuisyen seperti rakannya tetapi menghabiskan masa kira-kira dua hingga tiga jam untuk mengulangkaji di asrama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2016 @ 4:52 PM