MOHD Ridza. FOTO Asyraf Hamzah
MOHD Ridza. FOTO Asyraf Hamzah
Sri Ayu Kartika Amri

AKTIVITI pembalakan haram di Semenanjung Malaysia masih terkawal.

Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Ridza Awang berkata, pencerobohan dari segi pembalakan haram bukan sesuatu yang berleluasa di Semenanjung Malaysia.

“Kebanyakan laporan dan tangkapan yang dibuat adalah bagi kecurian kayu-kayu dan membelah kayu menjadi papan sebelum dibawa keluar dari hutan yang kita dapati banyak berlaku di Kedah dan Terengganu.

“Aktiviti tidak sah ini bukanlah berskala besar, namun jika orang ramai mempunyai maklumat boleh melaporkannya kepada kami,” katanya kepada media selepas merasmikan Seminar Perlindungan Maklumat Siber JPSM 2020 di Kuala Lumpur, hari ini.

Mohd Ridza berkata, JPSM juga sudah membangunkan pusat pemantauan terbaharu (War Room), menerusi imej daripada satelit yang lebih lengkap bagi mengesan berlakunya perubahan hutan yang diwartakan sebagai hutan simpanan kekal (HSK).

Menurutnya, JPSM komited membuat pemantauan dan meneroka industri 4.0 dan pelaksanaan teknologi 5G sekali gus membangunkan sistem yang lebih lengkap.

“JPSM sebelum ini bekerjasama dengan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) bagi membentuk aplikasi Sistem Pemantauan Hutan Penderiaan Jauh.

“Menerusi War Room ini, JPSM dapat mengesan aktiviti tidak sah dengan tepat termasuk bukti pengimejan sebelum dan selepas kejadian.

“Melalui pusat yang dibangunkan ini juga ia penting untuk pemantauan terhadap HSK kita yang pada masa ini mempunyai keluasan 4.8 juta hektar di seluruh semenanjung,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, tiada laporan aktiviti perubahan hutan secara tidak sah diterima, namun pihaknya sentiasa peka dan jika ada sebarang aktiviti yang mencurigakan dijalankan di HSK, orang ramai boleh membuat aduan kepada JPSM.

Seminar yang dihadiri lebih 200 peserta terdiri daripada pegawai JPSM, Jabatan Perhutanan Negeri (JPN), agensi di bawah Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) dan agensi luar itu adalah bagi berkongsi maklumat mengenai kesedaran risiko serta akibat pendedahan data peribadi digital.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2020 @ 4:21 PM