Mohd Amsyar Nor Azmi (kiri) bersama adiknya, Mohd Fazrulsha (tengah) dan Mohd Afiq Hazim mandi-manda di Sungai Congkak, Hulu Langat, Selangor.
Mohd Amsyar Nor Azmi (kiri) bersama adiknya, Mohd Fazrulsha (tengah) dan Mohd Afiq Hazim mandi-manda di Sungai Congkak, Hulu Langat, Selangor.
Fairul Asmaini Mohd Pilus dan Nor Asyikin Mat Hayin


Shah Alam: Secara amnya, Selangor memiliki Hutan Simpanan Kekal (HSK) seluas 250,860 hektar iaitu 31.5 peratus daripada keluasan negeri.

Ia merangkumi tiga jenis hutan iaitu Hutan Darat, Hutan Paya Gambut serta Hutan Paya Laut dan diuruskan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS).

Agensi terbabit bukan saja komited menyediakan kawasan rekreasi kepada masyarakat malah turut membantu memupuk kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara dan mempertahankan HSK untuk generasi akan datang.

Inisiatif itu satu tindakan wajar bagi merealisasikan hasrat yang dinyatakan dalam Dasar Perhutanan Negara 1978 (Pindaan 1992) iaitu mengekalkan sejumlah kawasan mencukupi bagi tujuan rekreasi, ekopelancongan dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai perhutanan serta mengklasifikasikan Hutan Lipur sebagai salah satu fungsi utama Hutan Simpanan Kekal.

Justeru, JPNS mengambil langkah mewujudkan 10 Taman Eko Rimba dan sebuah Taman Negeri Selangor dengan keluasan lebih kurang 113,780 hektar yang mampu menyediakan kemudahan bagi tujuan rekreasi kepada masyarakat serta berperanan sebagai green lungs.

Pengarah Perhutanan Negeri Selangor Dr Mohd Puat Dahalan berkata, Taman Eko Rimba yang dahulunya dikenali sebagai Hutan Lipur nama baru yang diperkenalkan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) pada penghujung 2016.

Kata Dr Mohd Puat, penjenamaan semula Hutan Lipur kepada Taman Eko Rimba dilaksanakan oleh semua Jabatan Perhutanan Negeri termasuk JPNS bagi memberi imej baru yang lebih positif di samping mengelakkan kekeliruan penggunaan nama Hutan Lipur oleh agensi lain.

Menurut beliau, enam daripada 10 Taman Eko Rimba yang terdapat di Selangor diuruskan JPNS iaitu Taman Eko Rimba Ampang, Taman Eko Rimba Gunung Nuang, Taman Eko Rimba Sungai Tekala, Taman Eko Rimba Komanwel, Taman Eko Rimba Sungai Tua dan Taman Eko Rimba Sungai Sendat.

“Taman Eko Rimba Kanching dan Taman Eko Rimba Sungai Congkak diuruskan Tourism Selangor Sdn Bhd (TSSB).

“Taman Eko Rimba Templer pula diuruskan Majlis Perbandaran Selayang dan Taman Eko Rimba Sungai Gabai oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Gabai.

“Hutan bukan saja berfungsi sebagai tempat perlindungan yang menjadi habitat kepada pelbagai spesies flora dan fauna, malah ia juga turut menjana kitaran hidrologi dan udara sehingga membolehkan kelangsungan kehidupan lain,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Dr Mohd Puat lagi, sehingga kini, kerajaan negeri itu masih lagi mengekalkan Dasar Moratorium Pembalakan selama tempoh 25 tahun bermula dari 2010.

Menerusi dasar berkenaan, tiada sebarang aktiviti pembalakan di dalam HSK atau tanah kerajaan kecuali bagi kawasan hutan yang terbabit dengan projek pembangunan untuk kepentingan awam.

Beliau berkata, ia komitmen dan iltizam tinggi kerajaan negeri terbabit dalam pemeliharaan sumber dan khazanah hutan yang tidak ternilai.

“Hutan Simpanan Kekal (HSK) di negeri ini mempunyai sumber dan khazanah hutan yang tidak ternilai dan ia menjadi daya tarikan utama sebagai destinasi ekopelancongan dari dalam dan luar negara.

“Ia satu cabaran besar terhadap JPNS bagi memastikan sumber dan khazanah hutan itu dapat diuruskan secara lestari di samping memberi manfaat kepada masyarakat dalam aspek ekopelancongan,” katanya.

Sementara itu, Dr Mohd Puat berkata, jabatannya turut menerima peruntukan hampir RM4 juta daripada kerajaan negeri sejak 2015 bagi tujuan pemuliharaan dan pemeliharaan Taman Eko Rimba dan Taman Negeri Selangor.

“Sebagai contoh, Taman Eko Rimba Gunung Nuang sebelum ini agak ketinggalan dari segi prasarana dan landskap, tetapi sejak diuruskan dengan berkesan dua tahun lalu, imej kawasan itu kembali meningkat.

“Ia kini menjadi salah satu lokasi pilihan orang ramai untuk beriadah termasuk menjalankan aktiviti riadah seperti mendaki gunung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2017 @ 6:36 AM