Kuala Lumpur: Penggunaan sistem pemantauan hutan menggunakan penderiaan jauh (FMRS) terbukti berkesan apabila berupaya mengurangkan kadar pencerobohan dan pembalakan hutan di Malaysia.

Sistem berkenaan yang mula diperkenalkan sejak 2014 dibangunkan oleh Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM) dan diguna pakai di Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) bagi tujuan pemantauan dan penguatkuasaan kawasan hutan di negara ini.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Hutan Mohd Nizum Mohd Nor berkata, JPSM menggunakan FMRS dalam pemantauan kawasan hutan simpan kekal dan bukan simpan kekal di seluruh Semenanjung.

“Kita menjalankan pemantauan berkala setiap minggu sama ada menggunakan rondaan, semakan kawasan, pemeriksaan, sekatan jalan raya serta operasi.

“Tetapi sejak dua tahun lalu kita menggunakan sistem FMRS untuk membantu memudahkan lagi kerja pemantauan dan penguatkuasaan,” katanya.

Menurut beliau, tahun lalu FMRS ditambah baik kepada FMRS Plus 5 dengan menggabungkan lima komponen tambahan yang bersesuaian digunapakai mengikut peredaran semasa.

“Sistem maklumat geografi (GIS) ditambah baik dalam FMRS Plus 5 supaya mengesan kawasan panas, sempadan hutan simpan kekal, kelas fungsi hutan, koordinat sistem pengesanan global (GPS), lesen pembalakan dan permit penggunaan.

“FMRS Plus 5 turut dilengkapi sensor hyper spectral iaitu satu imej sensor yang memberi signal infra merah permukaan tanah dan boleh menganalisis perubahan komposisi hutan.

“Komponen tiga membabitkan pasukan rondaan JPSM yang boleh mengesahkan maklumat operasi penguatkuasaan dan forensik,” katanya.

Menurutnya, dron juga digunakan supaya dapat membuat pemantauan masa sebenar dengan menampilkan pengimejan beresolusi tinggi serta rakaman video.

“Dron ini akan menampilkan imej foto udara dalam bentuk RGB dan rakaman video udara 360 darjah.

“Komponen sistem ini diperkukuhkan lagi dengan operasi bersepadu penguatkuasaan hutan,” katanya.

Katanya, sistem berkenaan membantu kerja penguatkuasaan hingga memperlihatkan trend penurunan kes berkaitan salah laku hutan di Semenanjung.

“Berdasarkan statistik, kita nampak ada perbezaan ketara selepas menggunakan sistem ini majoriti kes pembalakan haram di seluruh Semenanjung semakin berkurangan daripada 28 kes pada 2005 berjaya dikurangkan kepada 11 kes sehingga Oktober tahun ini.

“Kes membabitkan hutan dalam kawasan ibu negara juga berjaya mencapai sifar sekali gus memberi petunjuk positif penggunaan sistem ini amat berkesan dalam membantu kerja-kerja penguatkuasaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2016 @ 5:14 AM