Siti Sofia Md Nasir


AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin meletak jawatan sebagai Exco Kerajaan Pulau Pinang, berkuat kuasa hari ini.

Beliau yang juga Exco Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani memaklumkan keputusan itu kepada kerajaan negeri pada 8.15 pagi, hari ini.

Perkara berkenaan diumumkan Ketua Menteri Chow Kon Yeow pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di Georgetown.

Chow berkata, surat peletakan jawatan Dr Afif diserahkan sendiri kepadanya dalam satu pertemuan di KOMTAR.

“Dr Afif hanya meletak jawatan sebagai EXCO Kerajaan Negeri, tetapi beliau masih ADUN Pakatan Harapan (PH) sebab beliau masih ahli PKR.

“Memandangkan surat peletakan jawatan itu diterima, saya akan menghantar surat kepada PKR bagi memaklumkan perkara ini, termasuk untuk mereka mencadangkan nama baharu bagi mengisi kekosongan jawatan itu,” katanya.

CHOW menunjukkan surat peletakan jawatan Dr Afif pada sidang media, hari ini. FOTO Danial Saad.
CHOW menunjukkan surat peletakan jawatan Dr Afif pada sidang media, hari ini. FOTO Danial Saad.

Ditanya adakah Dr Afif didesak untuk melepaskan jawatan sebagai EXCO, Chow menafikannya selain menekankan Timbalan Ketua Cabang Permatang Pauh itu masih ahli PKR.

Sementara itu, dalam surat peletakan jawatan itu yang sempat dilihat wartawan, Dr Afif antara lain memaklumkan keputusan berkenaan dibuatnya selepas perbincangan dengan Ketua Menteri.

“Saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ketua Menteri, barisan jentera kerajaan negeri dan rakyat Pulau Pinang di atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan selama ini,” katanya.

Untuk rekod, Dr Afif menjawat EXCO Kerajaan Pulau Pinang sejak 2013.

Difahamkan beliau akan mengadakan sidang media menjelaskan tindakannya itu di kediaman di Permatang Pauh, 3.30 petang ini.

Ahad lalu, Dr Afif antara individu yang diserang penyokong PKR dalam kejadian di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, susulan pergolakan politik dalaman parti itu yang membawa kepada perubahan tampuk kepimpinan Kerajaan Persekutuan baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2020 @ 2:01 PM