KON Yeow, gambar fail. FOTO NSTP
KON Yeow, gambar fail. FOTO NSTP
BERNAMA

Bukit Mertajam: Kerajaan negeri akan mengadakan sesi libat urus tidak formal di sebuah hotel di sini, selama dua hari bermula Isnin ini bagi menggantikan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak boleh dilaksanakan dalam tempoh darurat ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, langkah itu penting agar Exco Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dapat melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai wakil rakyat walaupun semasa tempoh pengisytiharan darurat yang dijadualkan berakhir 1 Ogos nanti.

"Sesi libat urus ini akan menjadi landasan untuk mengetengahkan suara rakyat. Kita rasa mesyuarat libat urus ini perlu dilakukan untuk membolehkan Adun memainkan peranan mereka melakukan semak dan imbang serta memberikan taklimat terkini tentang kerja dan tanggungjawab mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bagi 2021 di Menara MBSP di sini, hari ini.

Kerajaan negeri mengadakan Sidang DUN terakhir pada 12 Oktober tahun lalu yang berlangsung selama enam hari.

Chow berkata, ketika sesi tadbir urus Isnin ini, setiap Adun akan diperuntukkan masa selama sejam untuk menjawab persoalan atau membangkitkan isu selain bersoal jawab.

Katanya, urus setia mesyuarat kini sudah menerima lebih 100 soalan untuk dikemukakan ketika sesi libat urus Isnin depan.

"Namun begitu, sesi mesyuarat tidak akan membabitkan proses pembentangan usul, menggubal atau meminda undang-undang sebagaimana lazim dalam sesi persidangan DUN sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Adun Seberang Jaya Dr Afif Bahardin berkata, beliau mempertimbangkan untuk tidak hadir ke mesyuarat berkenaan kerana membantah tindakan kerajaan negeri yang menarik semula peruntukan yang disediakan kepada Adun pembangkang.

Sebelum ini, Dr Afif Bahardin digugurkan sebagai Exco Kerajaan Pulau Pinang, dilucutkan hak sebagai Adun Pakatan Harapan (PH) negeri selepas disahkan penggantungan serta pemecatan keanggotaannya oleh Lembaga Disiplin PKR.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 4:40 PM