DR NORLELA mengangkat sumpah sebagai Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas di Seri Mutiara hari ini. FOTO BERNAMA
DR NORLELA mengangkat sumpah sebagai Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas di Seri Mutiara hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti Dr Norlela Ariffin mengangkat sumpah jawatan sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pulau Pinang, hari ini.

Majlis diadakan di hadapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas di Seri Mutiara, Georgetown.

Pelantikan Norlela itu bagi mengisi kekosongan jawatan Dr Afif Bahardin yang melepaskan jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri minggu lalu.

Ia menjadikan beliau wanita pertama dari PKR dilantik sebagai Exco Pulau Pinang.

Norlela yang ditemui pemberita selepas majlis angkat sumpah itu berkata, beliau berterima kasih kepada PKR kerana mencalonkannya, dan berjanji akan menjalankan amanah sebaik mungkin.

“Saya sedar jawatan ini sangat mencabar. Antara perkara yang akan menjadi fokus saya adalah isu penularan Covid-19 serta pembangunan dalam pertanian di negeri ini,” katanya.

Norlela yang menjadi ADUN Penanti sejak 2013 berkata, selain itu, beliau juga akan meneruskan usaha dan rancangan baik yang dirancang Dr Afif sebelum ini terutamanya usaha menangani masalah bekalan air untuk sawah padi.

Rabu lalu, Dr Afif yang juga Timbalan Ketua Cabang PKR Permatang Pauh dan ADUN Seberang jaya mengumumkan peletakan jawatan sebagai Exco Pulau Pinang, bagaimanapun beliau mengesahkan masih ahli PKR.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2020 @ 4:39 PM