PEGAWAI Penguatkuasa Veterinar Negeri Selangor memeriksa karkas lembu yang didapati tiada tanda selar dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor.
PEGAWAI Penguatkuasa Veterinar Negeri Selangor memeriksa karkas lembu yang didapati tiada tanda selar dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

ISTERI seorang kakitangan awam ditahan anggota penguatkuasa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor, selepas didapati memiliki karkas lembu secara tidak sah.

Karkas lembu itu didapati tiada perakuan kesihatan veterinar dan perakuan kebenaran sembelih dari Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor selain disyaki disembelih di luar rumah sembelih yang diluluskan atau dilesenkan oleh jabatan berkenaan.

Jurucakap Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor berkata, tindakan pemeriksaan mengejut dilakukan jam 5 pagi, 6 Januari 2019, di pasar pagi Batang Kali, Hulu Selangor.

Menurutnya, dalam pemeriksaan dilakukan, pegawai penguatkuasa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor mendapati karkas lembu yang dimiliki wanita berusia 40-an itu tiada tanda selar jabatan dan disyaki tidak disembelih di rumah sembelihan diluluskan atau dilesenkan pihak jabatan.

Susulan itu semua daging lembu seberat lebih 232 kilogram, alat penimbang dan lapan pencangkuk daging dirampas sebelum laporan polis dibuat di Balai Polis Batang Kali hari sama.

Wanita terbabit jelas melakukan kesalahan mengikut Kaedah 5(3) Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009 Akta Binatang (Pindaan 2013) dan boleh dihukum mengikut Kaedah 17 (Pindaan 2018) kaedah sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000, jika sabit kesalahan.

Susulan rampasan dilakukan itu, wanita terbabit, Norinah Osman didakwa dan dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bahru semalam.

Keputusan perbicaraan diputuskan dan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan oleh pihak pendakwaan.

Susulan itu dia didenda RM7,000 atau penjara 7 bulan sekiranya gagal membayar denda ditetapkan.

"Untuk makluman, denda RM7,000 itu adalah yang tertinggi setakat ini dikenakan mahkamah mengikut Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan)(Pindaan) 2018,” katanya.

Menurutnya, wanita terbabit mempunyai rekod kesalahan lampau dan pernah melakukan kesalahan sama pada tahun 2017.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan iaitu En Roslan Bin Mohd Isa dan tertuduh tidak diwakili peguam

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 9:23 PM