ANGGOTA polis menahan suspek berusia 42 selepas dia mengamuk menggunakan parang dan merosakkan kenderaan di Kampung Kuah, Langkawi, pagi semalam. FOTO Ihsan PDRM
ANGGOTA polis menahan suspek berusia 42 selepas dia mengamuk menggunakan parang dan merosakkan kenderaan di Kampung Kuah, Langkawi, pagi semalam. FOTO Ihsan PDRM
Hamzah Osman


LELAKI berusia 42 ditahan polis selepas dia mengamuk menggunakan parang dan merosakkan kenderaan di Kampung Kuah di Langkawi, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, polis menerima maklumat daripada penduduk mengenai lelaki mengamuk pada 2.30 pagi.

“Anggota polis yang tiba di tempat kejadian mendapati lelaki tempatan sedang mengamuk bersenjatakan parang dan beberapa senjata tajam lain.

“Suspek yang dipercayai di bawah pengaruh alkohol dan metadon turut merosakkan tiga kenderaan serta tingkap rumah penduduk berhampiran,” katanya ketika dihubungi di Langkawi, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, polis yang dibantu penduduk berjaya menahan suspek dan merampas parang serta beberapa senjata tajam lain yang digunakan dalam kejadian itu.

Katanya, sejurus tangkapan, suspek yang turut mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan gaduh dan pemilikan senjata api, dibawa ke Hospital Langkawi untuk pemeriksaan lanjut.

“Kes disiasat bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Suspek turut disiasat bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Oktober 2018 @ 2:02 PM