GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hamzah Osman


SELEPAS 17 jam diburu, suspek samun dan cabul terhadap seorang jururawat di Padang Matsirat di Langkawi, ditahan semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, suspek berusia 29 tahun ditahan sepasukan polis pada 9 malam.

“Bertindak atas laporan yang dibuat oleh seorang jururawat berusia 25 tahun, polis menahan suspek yang tinggal berhampiran kawasan rumah mangsa.

“Dalam kejadian 3.50 pagi semalam, mangsa mendakwa suspek mencabulnya ketika sedang tidur dalam bilik di rumahnya,” katanya ketika dihubungi di Langkawi, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, ketika kejadian, suami mangsa tidur dalam bilik berasingan bersama anak lelaki mereka yang berusia satu setengah tahun.

“Mangsa yang terkejut dengan tindakan suspek bertindak menjerit dan memanggil suaminya sebelum suspek melarikan diri ke bahagian dapur rumah.

“Dalam kejadian itu, suspek juga dipercayai sudah melarikan wang tunai berjumlah RM80 dalam beg duit milik suami mangsa,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek memasuki rumah mangsa menerusi pintu dapur dan tiada kamera litar tertutup di sekitar tempat kejadian.

“Suspek kini ditahan reman dan disiasat bawah Seksyen 392 dan 354 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun dan cabul,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 9:16 AM