LOKASI kejadian kemalangan maut di Kilometer 212.4 Lebuh Raya Utara-Selatan Arah Utara, dekat Alor Gajah awal pagi tadi. FOTO HASSAN OMAR
LOKASI kejadian kemalangan maut di Kilometer 212.4 Lebuh Raya Utara-Selatan Arah Utara, dekat Alor Gajah awal pagi tadi. FOTO HASSAN OMAR
Hassan Omar


DUA beranak maut selepas kereta dinaiki terbabas sebelum terbalik di Kilometer 212.4 Lebuh Raya Utara-Selatan Arah Utara, dekat Alor Gajah, hari ini.

Dalam kejadian pada 5.10 pagi itu, pemandu kereta Perodua Myvi, Suisza Ishak, 35, dan anaknya, Edriand Khushairie, 2, meninggal dunia.

Sementara, ibu mangsa Supiah Mansor, 68 dan adiknya Aainaa Athira, 18, cedera.

Bagaimanapun, pemandu Proton Persona, Show Yong Jian, 31, yang turut terbabit dalam kemalangan itu tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan mendapati mangsa memandu dari arah selatan ke utara, manakala Show memandu dari Ulu Tiram, Johor juga ke utara.

Beliau berkata, keluarga terbabit beralamat di Taman Seremban Jaya, Seremban, Negeri Sembilan, dipercayai dalam perjalanan ke utara.

“Mangsa dipercaya dipercayai gagal mengawal kenderaan menyebabkan kereta dipandu melanggar penghadang jalan di tengah lebuh raya dan terbalik.

“Mangsa tercampak di lorong kanan dan digilis kereta dipandu Show yang datang dari arah sama.

“Ia menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala,” katanya hari ini.

Susulan kejadian itu, katanya, kereta dipandu Show turut terbabas dan melanggar besi penghadang jalan.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, dan dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat.

“Anak, ibu dan adik mangsa dibawa ke Hospital Melaka, bagaimanapun anak lelakinya meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya.

Arshad berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) APJ 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2020 @ 7:33 PM