LOKASI kemalangan Pulau Sebang. FOTO Hassan Omar
LOKASI kemalangan Pulau Sebang. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar

Alor Gajah: Dua maut selepas Daihatsu Charade dinaiki mereka bertembung dengan Proton Waja di Jalan Kemuning, Pulau Sebang, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian 8 pagi itu, pemandu Daihatsu Charade, Fikry Effendi Ahmad Razali, 27, dan rakannya, Nurul Shamira Mohd Rajuna, 24, meninggal dunia selepas kereta berkenaan bertembung dengan kereta dipandu Zainal Nordin, 55.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan mendapati ketika kejadian, kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari arah Hutan Percha ke Simpang Ampat di sini manakala Zainal dari Pulau Sebang ke Hutan Percha.

"Pemandu Daihatsu Charade dipercayai gagal mengawal kenderaan ketika melalui selekoh sebelum berpusing dan memasuki laluan bertentangan.

"Berikutan itu, kenderaan mangsa bertembung dengan kereta dipandu Zainal dan menyebabkan kedua-dua mangsa parah," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa yang tersepit dikeluarkan sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Alor Gajah.

Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Zainal cedera pada kaki.

Jenazah kedua-dua arwah dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat manakala Zainal dirawat di hospital yang sama.

Beliau berkata, cuaca ketika kejadian dalam keadaan baik dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2020 @ 5:00 PM