MD JAIS SARDAY
MD JAIS SARDAY
Faliqah Alia Radin Mohd


UMNO Johor menyarankan lantikan menteri kabinet yang dibuat dalam masa terdekat dilakukan secara profesional dengan memilih individu berkebolehan tanpa mengira kaum untuk mentadbir negara.

Bendaharinya Datuk Md Jais Sarday berkata, kabinet baru di bawah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak seharusnya dilihat sebagai kerajaan Melayu Bumiputera saja, kerana Malaysia adalah negara berbilang kaum.

Katanya, dengan perkembangan mutakhir politik negara, ia adalah harapan terakhir kerajaan untuk melantik individu yang boleh mengubah ekonomi dan membantu meringankan beban rakyat, seperti yang berlaku sebelum ini.

“Ahli Parlimen yang menghadapi tuduhan mahkamah tidak boleh menjadi sebahagian daripada kabinet baru kerana ia membabitkan soal kepercayaan dan integriti.

“Tan Sri Muhyiddin juga diharapkan tidak melantik Ahli Parlimen yang mempunyai latar belakang tercemar untuk menjadi sebahagian dalam kabinet baharu yang bakal dibentuk.

“Namun, ada cara lain untuk memberi ganjaran kepada mereka yang setia termasuk memberi kedudukan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Md Jais berkata, beliau yakin Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad melantik barisan Exco secara profesional termasuk wakil masyarakat Cina dan India dalam kepimpinannya.

“Saya percaya beliau (Hasni) seorang pemimpin berpengalaman, dapat melakukan yang terbaik untuk memperbaiki ekonomi negeri dan membantu rakyat,” katanya.

Difahamkan, Hasni dijangka mengumumkan 10 anggota Exco kerajaan negeri dalam masa terdekat.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2020 @ 7:14 PM