MANGSA diangkat anggota bomba selepas terbabas di gaung sedalam 5
MANGSA diangkat anggota bomba selepas terbabas di gaung sedalam 5
Recqueal Raimi

SEORANG lelaki terpaksa menahan sakit lebih 24 jam sebelum diselamatkan dari gaung sedalam 50 meter berhampiran Kampung Timbang Batu di Jalan Marak-Parak di Kota Marudu, semalam.

Mangsa berusia 50 tahun itu ditemukan terbaring dalam keadaan separuh sedar kira-kira jam 3.30 petang sebelum diselamatkan anggota bomba.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah dari Kota Marudu ke Kampung Timbang Batu, kelmarin.

Katanya, sebaik tiba di lokasi itu, motosikal ditunggang mangsa terbabas di bahu kiri jalan dan terjatuh ke dalam gaung.

“Mujur motosikal mangsa di tepi jalan itu disedari pekerja pemotong rumput yang sedang membersihkan sekitar jalan raya sebelum ternampak mangsa di dalam gaung.

“Mangsa yang mengalami cedera parah di beberapa bahagian badan itu dibawa naik oleh pasukan bomba lalu sebelum dibawa ke hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk menerima rawatan,” katanya dihubungi hari ini.

Menurutnya, terdahulu ahli keluarga menyangkakan mangsa hilang kerana tidak pulang sejak 1.30 petang kelmarin dan membuat laporan polis pada jam 11.30 pagi semalam.

“Buat masa ini, keterangan belum diambil memandangkan mangsa masih menjalani pembedahan kecil di hospital dan punca kejadian juga belum diketahui sama ada terbabas sendiri atau dilanggar kenderaan lain,” katanya.

Terdahulu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Marudu, Rony Sikawan berkata, sebaik menerima panggilan jam 4.10 petang, enam anggota dikerah ke lokasi bersama satu jentera.

“Sebaik tiba, pasukan bomba memberi rawatan awal dan mengangkat mangsa menggunakan pengusung dan tali sebelum dihantar ke hospital dengan ambulans,” katanya operasi ditamatkan jam 4.55 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2020 @ 5:22 PM