Azhar Azizan. FOTO Luqman Hakim Zubir
Azhar Azizan. FOTO Luqman Hakim Zubir
Farah Marshita Abdul Patah


SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Umum (PRU) dalam masa terdekat.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun berkata, bagaimanapun, persediaan itu bukan disebabkan pergolakan politik yang sedang dihadapi negara pada ketika ini.

Menurutnya, terdapat pelbagai faktor lain yang menyumbang kepada kesiapsiagaan SPR untuk mengadakan PRU.

“Sekretariat SPR memang sentiasa bersedia dengan membuat persediaan awal dan mengaktifkan pelan PRU.

“Tidak dinafikan dalam keadaan sekarang terdapat kemungkinan untuk berlakunya PRU, namun SPR belum membuat sebarang perincian dan perbincangan,” katanya.

Ditanya sama ada calon berusia 18 tahun sudah boleh mengundi sekiranya pilihan raya diadakan pada tahun ini, Azhar berkata, ia bukannya dalam masa terdekat.

“Perkara itu dijangka dapat dilaksanakan pada pertengahan tahun hadapan. Bagaimanapun, ia juga mungkin dapat dilaksanakan lebih awal, sekitar akhir tahun ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Azhar berkata, anggaran kasar untuk mengadakan PRU adalah antara RM750 juta dan RM800 juta.

“Namun, SPR belum membincangkan mengenai anggaran kos sekiranya PRU diadakan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Tahun lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 dengan majoriti dua per tiga.

Dengan kelulusan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan itu, pilihan raya pada masa hadapan menyaksikan pengundi berusia 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon berbanding usia 21 tahun sebelum ini selain pendaftaran pengundi akan dilakukan secara automatik.

Pindaan berkenaan memperoleh sokongan 47 daripada 68 ahli Dewan Negara iaitu melebihi dua pertiga undian majoriti yang diperlukan, selepas 24 senator mengambil bahagian dalam sesi perbahasan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 7:27 PM